HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Februari 2021

Rasuah: Ambil tindakan tegas ke atas pembantu Xavier

 

MINDA RAKYAT


KUALA LUMPUR
: PAS menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas Pegawai Tugas-tugas Khas kepada bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar iaitu MA Tinagaran.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, ia berikutan kes rasuah melibatkan jutaan ringgit yang dibongkarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

“Kita minta supaya kes yang melibatkan orang kanan kepada Xavier ini dibawa ke muka pengadilan dan buat penyiasatan terperinci terutama berkenaan sumber yang diperolehinya.

“Sebelum jadi orang kanan, berapa wang yang ada dan selepas jadi orang kanan, berapa pula wang yang ada,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, Idris mempersoalkan kenyataan-kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sering melaungkan kerajaan yang ditadbir mereka sebelum ini bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Kita tidak mahu menuduhlah kes ini sama ada salah atau tidak tapi pada saya ialah umumnya dalam kalangan puak-puak Pakatan Harapan ini boleh digelar ‘bom asap’.

“Cakap berdegar-degar berkenaan dengan soal rasuah, ketelusan, macam kononnya nak jadi hero rasuah tetapi ternyata dalam tempoh 22 bulan lalu yang mereka berkuasa membuktikan belang mereka yang sebenar,” katanya.

MA Tinagaran yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Rakyat (PKR) Perak, sebelum ini telah ditahan bersama-sama dua pengarah syarikat dalam operasi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ipoh pada Selasa berhubung kes rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan kementerian itu semasa pentadbiran PH.

SPRM turut merampas RM1.2 juta daripada sebuah rumah dan pejabat.

Sementara itu, bank akaun milik dan syarikat dengan wang berjumlah RM77 juta dibekukan.

Difahamkan, kereta mewah yang dirampas digunakan Xavier sebagai kereta rasminya semasa menjadi menteri.

Dilaporkan, rasuah itu melibatkan penyerahan projek pasir yang berada di bawah bidang kuasa Xavier.

Xavier yang juga Naib Presiden PKR dan Tinagaran merupakan antara yang dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ daripada Istana Kelantan pada 2019. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: