HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Februari 2021

UMNO Alu-alukan ADUN Sokong GRS, Bina Semula Kekuatan Kerajaan Sabah – Raime

Oleh: Amin Adnan


KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi mengalu-alukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A.Gani Pg Amir agar menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan dan membina semula kekuatan dalam kerajaan sekarang berbanding kerajaan yang lalu.

Katanya, keputusan ADUN tersebut adalah untuk kesejahteraan rakyat dan beliau mengambil keputusan tepat meninggalkan parti Warisan.

“Langkah ADUN tersebut memang baik khususnya untuk rakyat Sebatik. Pembangkang bukannya ada apa-apapun ’opportunity’ (peluang). Sebagai contoh semasa pemerintahan Warisan dahulu, ADUN-ADUN UMNO tidak mendapat peluang yang diberikan oleh kerajaan lepas.

“Kerajaan GRS ini sebenar-benarnya berkhidmat untuk rakyat dan ia cukup berbeza dengan kerajaan terdahulu. Atas kesedaran ini eloklah mereka (ADUN Sebatik) bersama-sama dengan kerajaan GRS,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

Raime yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenom menambah, UMNO sebenarnya bersifat terbuka sekiranya ADUN Sebatik itu ingin menyertai UMNO semula dan ia haruslah ada tatacaranya.

Tambahnya lagi, keputusan itu akan diserahkan kepada pucuk pimpinan UMNO Sabah untuk memutuskannya.

“Saya harap bekas ADUN Warisan itu memasuki UMNO kembali dan kembalinya adalah ikhlas, jangan berpura-pura lagi. Yang penting mereka itu ikhlas menyokong dan berkerjasama dengan GRS.

“Kita kena fikir semasak-masaknya untuk menerima, takut-takut yang diterimanya ‘racun’ bukannya ‘madu’. Jadi kita kena berhati-hati.”

Seterusnya Raime menjangkakan selepas ini terdapat beberapa lagi ADUN Warisan yang akan menyertai GRS.

“Saya lihat perkara ini sudah lama berlaku tapi tunggu masa dan waktunya,” katanya lagi.

Untuk rekod, ADUN Sebatik telah mengumumkan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat. – UMNO Online

Tiada ulasan: