HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Mac 2021

Ada apa dengan Amanah? Dari kekuasaan ke survival parti

 Hisommudin Bakar

Amanah kini berdepan badai pertelingkahan politik sesama parti gabungan Pakatan Harapan.

Tindakan tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah berhijrah ke PKR menimbulkan banyak persoalan kepada mereka yang mengikuti perkembangan politik negara.

Apa sudah jadi kepada Amanah sekarang? Daripada sebuah parti yang pernah menjadi kerajaan kini berdepan dengan hakisan kepercayaan ahli yang meninggalkan perjuangan parti.

Ramai ingin tahu sebab mengapa ahli dan pimpinan Amanah meninggalkan parti itu sehingga menyebabkan keharmonian dalam Pakatan Harapan (PH) bergoncang.

Wujud serang menyerang secara terbuka antara pimpinan dan ahli Amanah dengan PKR. Media sosial dijadikan medan pertembungan melepaskan kemarahan selepas berlalu insiden ini.

Pakatan Harapan kini berdepan krisis pertelingkahan dalaman. 
Gambar: AFP

Dari sisi perpaduan pula, isu ini memperlihatkan PH dan Anwar Ibrahim sendiri tidak ke hadapan untuk mengharmonikan keadaan.

Ketika penulisan ini dibuat, tiada kenyataan daripada PKR apakah alasan rasional mereka menerima penyertaan Adun Amanah.

Sewajarnya dalam isu ini, lebih manis jika PKR memaklumkan dan berbincang dengan Amanah terlebih dahulu.

Tidak patut sama sekali PKR menerima dan mengumumkan kemasukan ahli parti rakan walau apapun alasan diberikan. Semangat setiakawan dalam berorganisasi wajar dipelihara dan keharmonian hubungan persahabatan mesti dijaga sebaiknya.

Bagi memahami pola ini, menerusi sedikit ruang ini, tulisan ini cuba menyingkapi secara sepintas lalu dan berusaha menafsir apa yang berlaku dalam Amanah dan melihat apakah kemungkinan yang akan berlaku sekiranya parti itu gagal mengurus permasalahan ini.

Amanah ditubuhkan bekas pimpinan PAS Pusat yang dikenali sebagai Kumpulan 18 (G18) selepas tewas dalam Muktamar Tahunan PAS di Kuala Selangor pada Jun 2015.

Kumpulan ini dengan pantas melancarkan Gerakan Harapan Baharu di Markas PAS Bakri di Johor.

Mereka berusaha menubuhkan sebuah parti politik baru sebagai wadah kepada golongan yang progresif dan inklusif. Malah dua elemen itu menjadi tema kepada parti baru itu selain “Rahmatan Lil ‘Alamin” (Rahmat untuk seluruh alam).

Mereka mengambil alih sebuah parti tidak aktif, Parti Pekerja-Pekerja Malaysia dan dijenamakan semula menjadi Parti Amanah Negara yang dilancarkan secara rasmi pada 16 September 2015 bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia.

Seminggu kemudian Amanah menyertai PKR dan DAP muntuk membentuk PH. Bergeraklah ketiga parti ini dan kemudiannya menerima komponen baru iaitu Bersatu untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS pada pilihan raya umum 2008.

Bermula dengan bergaya

Selepas ditubuhkan, Amanah memainkan peranan signifikan di dalam PH. Dalam tempoh dua tahun lebih dalam arena politik Malaysia, Amanah menempuh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan bergaya.

Mereka memenangi 11 kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Satu pencapaian yang membanggakan bagi sebuah parti baru. Selain itu, Amanah juga menerima tiga kuota anggota Dewan Negara.

Ramuan kejayaan Amanah disumbang gabungan politik yang tepat, gelombang perubahan rakyat yang menolak BN dan juga strategi kempen saat akhir PH dibantu Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu.

Apabila Mahathir dilantik sebagai perdana menteri, Amanah diberi kepercayaan memikul tugas penting dalam Kabinet. Lima ahli Parlimen Amanah dilantik sebagai menteri dan lima termasuk seorang senator dilantik sebagai timbalan menteri.

Dengan pelantikan ini, Amanah dilihat memperolehi laba politik yang agak lumayan walaupun hanya 11 kerusi Parlimen yang disumbangkan oleh parti ini di dalam PH.

Malah kedudukan Amanah pada ketika itu lebih baik jika dibandingkan dengan jumlah jawatan yang diperolehi PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

Peluang disia-siakan?

Sepanjang dalam kerajaan, Amanah tidak memanfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk mengukuhkan kedudukan politik parti. Mungkin kerana kejutan budaya dan juga “kesibukan” pemimpin yang hampir kesemuanya menjawat jawatan penting dalam kerajaan, pengukuhan parti kelihatan terabai.

Amanah menerima penambahan anggota baru yang agak drastik sebagai parti kerajaan. Ada sebahagian bekas ahli Umno dan ada juga yang tidak berparti mendaftar sebagai ahli.

Ahli PAS yang menyertai Amanah sangat minima kerana ketajaman pertembungan mereka sudah tepu.

Pimpinan Amanah dilihat tidak memperkukuhkan parti 
ketika memegang pentadbiran negara. Gambar: AP

Kesan dari pertambahan ini, wujud kerencaman dan kepelbagaian fikrah dalam Amanah.

Kerencaman dan kepelbagaian ini tidak sempat diurus dan diproses Amanah.

“Penyatuan pemikiran (wehdah al-fikr)” tidak sempat dihadamkan kerana selepas setahun, Amanah terpaksa mengadakan pemilihan di seluruh peringkat melibatkan peringkat kawasan, negeri dan nasional.

Perjalanan pemilihan dan peraturan yang agak “messy” ketika itu serta sengitnya perebutan jawatan dalam Amanah pelbagai peringkat menjadi “turning point” kepada apa yang berlaku sekarang.

Kesannya, pemilihan 2019 menjadi medan pertembungan yang sangat sengit dan hangat di dalam parti dan nampaknya tidak reda sehingga kini.

Pemilihan ini mengakibatkan wujud pertembungan kumpulan yang wujud di peringkat kawasan dan negeri, tetapi tidak berlaku di peringkat nasional.

Ia juga merebak ke sayap Pemuda dan Wanita Amanah. Pihak yang tewas mengambil pendekatan “berkecuali (tawaqquf)” dan melihat dari jauh. Lebih parah, ada yang meningggalkan parti.

Parut dari luka pemilihan 2019 masih segar dan masih dirasai sehingga kini.

Keadaan ini sedikit sebanyak merencatkan kekuatan yang dimiliki Amanah. Sebahagian besar aktivis asal yang kalah tidak lagi aktif seperti dahulu.

Ketika pemilihan, Amanah masih parti kerajaan, tetapi kini bertukar menjadi pembangkang.

Parti ini tidak lagi boleh menumpang kekuatan fungsi parti di dalam kerajaan. Sumber parti juga semakin terhad menyumbang kepada penyusutan sokongan kepada Amanah.

Jika dikenang, selama 22 bulan memerintah, mungkin pimpinan sibuk untuk membiasakan dengan norma baru menjadi kerajaan dan menteri.

Maka peluang menguatkan parti melalui kerajaan nampaknya disia-siakan atau tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Sesuatu yang wajar dimuhasabah dan direnung Amanah.

Mahathir atau Anwar?

Langkah Sheraton yang meruntuhkan kerajaan PH memberikan impak mendalam kepada semua parti termasuklah Amanah.

Di dalam kekeruhan politik ketika itu, ada dua dilema kepada kepimpinan Amanah untuk memposisikan pendirian politik yang menyumbang kepada hakisan kepercayaan ahli parti.

Pertamanya ialah dilema memilih Mahathir atau Anwar sehingga melahirkan dua aliran utama.

Bagi pemimpin yang menyokong Mahathir untuk mengepalai usaha mengembalikan mandat rakyat, mereka berhujah pengaruh bekas perdana menteri itu masih kuat dan tidak wajar dikesampingkan begitu sahaja. Pada peringkat awal, masih ada usaha untuk mengangkat Mahathir menjadi perdana menteri kali ketiga atas kelebihan yang ada pada negarawan itu.

Mereka kagum dengan kemampuan dan kelebihan dipunyai Mahathir bersandar kepada kualiti gaya kepimpinan, seorang ketua yang tegas, utuh dalam tindakan, pendengar yang baik, berdisiplin dalam mengatur perjalanan mesyuarat PH dan kerajaan, malah berjaya mencapai keputusan walaupun berat, sensitif dan kontroversi.

Dengan jumlah ahli Parlimen dari Pejuang dan Warisan, PH tidak mampu membentuk majoriti yang diinginkan untuk mengalahkan majoriti Perikatan Nasional (PN) dan BN. Munculah gagasan idea yang dinamakan sebagai “grand coalition” yang tidak disambut PKR.

Sementara kumpulan yang mengangkat ketokohan Anwar menganggap Mahathir tidak menunaikan janji mengangkat Anwar sebagai perdana menteri.

Mereka menempelak kumpulan yang masih mahu menerima Mahathir sebagai termakan jasa setelah Amanah menerima pelbagai jawatan dalam Kabinet bekas perdana menteri itu.

Hujah lainnya, mereka melihat pengaruh dan aura Mahathir sudah hilang. Bukan itu sahaja, pada hemat mereka Mahathir menjadi liabiliti kepada PH. PH perlu mengubah pola tumpuan dari Mahathir kepada Anwar sepenuhnya.

Jadi, pertembungan dua aliran ini berkait dengan pola sama ada memilih Mahathir ataupun Anwar yang mengikat keputusan politik Amanah.

Idea “grand coalition” tidak dibahaskan semasak-masaknya di dalam parti. Ianya hanya sekadar lontaran idea beberapa pimpinan tetapi tidak sampai kepada usul yang mengikat keputusan parti.

Ada yang menyifatkan dalam mengurus sesuatu isu, Amanah tidak mendapatkan nasihat ahli dan juga pimpinan pelbagai peringkat dengan sebaiknya. Sebahagian ahli kelihatan tidak tahu hala tuju dan pendirian sebenar parti berkenaan perkara ini, “Anwar atau Mahathir”.

Dengan gabungan dan campuran perasaan kecewa dengan pemilihan lepas, pertembungan sama sendiri yang melelahkan, ditambah ingin mengangkat Mahathir menyebabkan wujud sebilangan ahli hilang kepercayaan kepada pimpinan dan tidak memahami ke mana arah sebenar hala tuju parti ini.

Inilah antara yang dikatakan penyebab dan punca lima Adun, dua dari Selangor dan tiga dari Johor memilih untuk menyertai PKR.

Strategi pilihan raya

Elemen kedua pula melibatkan fokus strategi Amanah dalam pilihan raya.

Semua sedia maklum, Amanah adalah serpihan PAS. Sedikit sebanyak nilai yang ada wujud elemen budaya yang sama dalam PAS. Bezanya Amanah lebih terbuka dan tidak keras dalam pendirian politik mereka jika dibandingkan dengan parti lama mereka, PAS.

Jika disorot kedudukan kerusi yang ditandingi Amanah, ianya melibatkan kerusi Parlimen di kawasan lingkaran Melayu.

Perebutan ini melibatkan parti Melayu lain seperti Umno, PAS, Bersatu dan kini Pejuang yang diketuai Mahathir memasuki gelanggang sama.

Tetapi 11 kerusi yang dimenangi Amanah boleh dikatakan kebanyakan kawasan campuran yang mana pengundi bukan Melayu mempunyai peratus signifikan kepada faktor kemenangan.

Kawasan Melayu Amanah tewas. Kini timbul persoalan mengenai kemampuan Amanah untuk bersaing dengan parti Melayu lain mewakili PH pada PRU15.

Dilemanya, kawasan kerusi bercampur boleh menyumbang kemenangan, tetapi majoriti yang ditandingi Amanah ialah kawasan Melayu yang sukar untuk menang.

Di kawasan Melayu, jika diukur kemampuan, Amanah masih tertinggal berbanding kekuatan pengaruh parti lain.

Ini belum lagi dihitung pada 52 kerusi yang ditandingi Bersatu pada pilihan raya umum lalu. Kerusi ini hendak dibahagikan kepada parti mana dalam PH? Sekiranya dibahagi dua sekalipun kepada Amanah dan PKR, adakah mampu diterjemahkan kepada angka kemenangan kepada PH jika Parlimen dibubarkan pada tahun ini?

Semua persoalan ini juga memperlihatkan bagaimana strategi mencapai kemenangan yang dirangka Amanah untuk mengekalkan pencapaian 11 kerusi Parlimen dan 33 kerusi DUN dalam pilihan raya nanti.

Jika merosot berbanding pencapaian lalu, ianya merupakan refleksi kepada kegagalan parti ini menguruskan semua pola yang dinyatakan di atas. Satu pencaturan yang mencabar buat kepimpinan Amanah dalam merangka strategi kemenangan parti kali ini.

Mampukah Amanah bertahan?

Melihat kepada kemorosotan populariti di ruangan awam dan juga bahan sebutan dalam kalangan rakyat, Amanah perlu keluar dari garis graf penurunan ini dengan segera.

Hakisan sokongan yang wujud di dalam parti, “kepercayaan (thiqah)” sesama ahli dengan pimpinan perlu dipupuk kembali. Jika tidak, hakisan kepercayaan akan melebar dan akan terus berlaku. Isu penghijrahan ahli juga kemungkinan akan berlaku mengikut trend sepertimana yang berlaku di Selangor dan Johor.

Dari perspektif yang lain, ini juga menampakkan kelemahan kepimpinan Amanah menangani krisis dalaman dengan baik.

Presiden Amanah Mohamad Sabu misalnya, tidak mengamankan pertembungan dalaman yang berpanjangan.

Mohamad tidak mendamaikan kumpulan yang bertentangan.

Konvensyen terbaru juga gagal dimanfaatkan untuk memperlihatkan garis hala tuju Amanah yang segar daripada minda Mohamad yang popular dengan gelaran Mat Sabu.

Amanah kelihatan tenggelam dengan lambakan isu yang muncul sekarang. Dalam pelbagai isu yang berlaku kepada rakyat, pemimpin Amanah tidak ke hadapan menjuarai rungutan dan bebanan rakyat.

Najib Razak dan pemimpin Umno pula kelihatan lebih vokal dalam beberapa isu terkait kepentingan rakyat meskipun merupakan parti dalam kerajaan.

Tidak pelik sekiranya dapatan kajian menyatakan jenama Amanah masih lagi rendah peratusannya dalam pola pemikiran pengundi.

Ini memberi cabaran kepada parti itu untuk meneruskan pencapaian dan kelangsungan parti pasca PRU15 nanti.

Perlu diingat, PRU15 kali ini adalah musim surut.

Gelombang mungkin tidak wujud lagi seperti PRU14 lalu. Isu kleptokrat, pencuri, penyamun, GST mungkin sudah berlalu.

Ditambah pula dengan wabak Covid 19, kekecewaan pengundi, serta banyak lagi angkubah-angkubah yang akan mempengaruhi pola pengundian dalam PRU15.

Bersediakah Amanah berdepan dengan pola yang sangat cair (fluid) dan dinamik politik berubah dengan cukup pantas.

Selain bergantung kepada kekuatan gabungan politik, Amanah juga perlu berdiri atas kekuatan sendiri untuk terus “survive” dalam arena politik negara.

Kekuatan dan perpaduan dalaman parti perlu dibina kembali.

Mampukah Amanah bertahan?.

*Hisommudin Bakar mengikuti secara rapat perkembangan Amanah sejak penubuhannya pada 2015. Beliau merupakan pengarah eksekutif Ilham Centre yang sudah mengkaji pilihan raya di Malaysia sejak 2006. Artikel ini ditulis secara eksklusif untuk MalaysiaNow.

Tiada ulasan: