HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Mac 2021

ADUN Sebatik kekal bebas, tiada kekosongan kerusi, kata Speaker DUN Sabah

Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya berkata, surat peletakan jawatan ADUN 
Sebatik Hassan A Gani Pg Amir yang dikemukakan Warisan semalam tidak efektif.

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Kadzim M Yahya mengesahkan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir kekal seorang ADUN bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kadzim berkata, ini kerana surat peletakan jawatan Hassan yang dikemukakan Parti Warisan Sabah (Warisan) semalam tidak efektif kerana ditandatangani terlebih dahulu tanpa menyatakan sebarang tarikh.

Beliau berkata, Hassan juga menghantar kepadanya akuan bersumpah dengan jelas menyatakan tiada niat untuk mengosongkan kerusi DUN di sebalik tindakannya keluar daripada Warisan.

“Setelah saya meneliti kedua-dua dokumen berkenaan, saya mendapati surat peletakan jawatan yang dikemukakan oleh Warisan kepada saya yang dikatakan ditandatangani oleh ADUN Sebatik itu adalah pada sendirinya ‘ineffective’ (tidak efektif).

“Mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, apa-apa peletakan jawatan ‘pre-sign’ dan ‘undated’ (atau) tidak bertarikh adalah batal. Berasaskan kepada itu, saya tidak dapat menerima surat itu sebagai peletakan jawatan,” kata beliau dalam sidang media.

Semalam, Hassan menyerahkan surat akuan bersumpah kepada Kadzim yang menyatakan beliau tiada hasrat untuk mengosongkan kerusi DUN Sebatik, pada 11.45 pagi di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri.

Setengah jam selepas itu, Setiausaha Agung Warisan Loretto S Padua pula menyerahkan surat yang ditandatangani lebih awal ke pejabat Kadzim untuk dipertimbangkan supaya kerusi DUN Sebatik dikosongkan.

Menurut kandungan surat bertarikh 26 Feb itu, Hassan menyerah dan memaklumkan peletakan jawatan sebagai ADUN serta-merta selaras dengan ikrar kesetiaannya semasa dipilih menjadi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September lalu.

Ditanya bagaimana pihaknya mengetahui surat peletakan jawatan itu ditandatangani lebih awal dan tidak bertarikh, Kadzim berkata Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal sendiri sebelum ini dilaporkan berkata, semua calon parti itu telah membuat surat perakuan tersebut sewaktu PRN Sabah.

“Kalau kita ambil kira kenyataan daripada presiden Warisan dan setiausaha agungnya, mereka sendiri mengakui semua wakil-wakil, calon-calon (PRN Sabah) mereka telah membuat perakuan, tandatangan.

“Macam mana pula dari September (tahun lalu) boleh tetapkan 26 Feb untuk letak jawatan? Mana logiknya? Itu (surat) memang ‘undated’ dan ‘pre-signed’,” kata Kadzim.

Tiada ulasan: