Permohonan itu dibuat atas
alasan tuntutan saman berkenaan bertujuan melanggar hak kebebasan
berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan.
Mohamed Azmin Ali hari ini memfailkan permohonan untuk membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari sebagai ahli Parlimen kawasan itu.
Azmin memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Zharif Nizamuddin atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah serta bertentangan atau ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan.
Permohonan itu dibuat atas alasan tuntutan saman berkenaan bertujuan melanggar hak asasi defendan iaitu kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang mana mahkamah tidak harus memberikan bantuan atau pertolongan kepada apa-apa tuntutan yang secara jelas dan terang-terangan melanggar perlembagaan tersebut.
Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Azmin ketika dihubungi pemberita berkata mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan afidavit sokongan sebelum atau pada 24 Mac ini.
“Mahkamah juga menetapkan tarikh sama (24 Mac) untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya selepas pengurusan kes menerusi dalam talian (e-review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Maslinda Selamat hari ini.
Kesemua 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak itu telah memfailkan saman tersebut pada 27 November lepas terhadap Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lepas.
Pernyataan tuntutan mereka menyebut kesemua plaintif, berusia lingkungan 36 dan 64 tahun, memohon antara lain pengisytiharan bahawa Azmin selaku ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.
Pengundi itu mendakwa dengan memungkiri representasi berkenaan, defendan telah melanggar hak perlembagaan, terutamanya prinsip demokrasi berparlimen dan demokrasi perwakilan yang membentuk sebahagian struktur asas perlembagaan.
Oleh itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah melanggar kewajiban fidusiarinya dan tugas-tugas yang terhutang kepada plaintif selain melakukan penipuan terhadap mereka serta menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan