HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mac 2021

'Broker' jadi jurucakap jatuhkan UMNO - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa musuh parti itu menggunakan 'broker' bagi menghancur dan menjatuhkan parti itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, 'broker' bertaraf jurucakap digunakan musuh untuk memastikan UMNO terus berada dalam kawalan mereka selepas usaha menghapuskan parti ini tidak berjaya.

"Musuh tahu UMNO adalah parti keramat bangsa, agama dan parti terbesar umat Melayu yang mampu bangkit semula. Maka, mereka berusaha gigih menghancurkan UMNO untuk selama-lamanya sejak dua tahun lalu.

"Bagaimanapun usaha (musuh) itu tidak pernah berjaya kerana 'kedegilan' pemimpin (UMNO) dan ahlinya," katanya dalam kenyataan dikongsikan dalam akaun media sosial beliau, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pemimpin dalam UMNO yang lantang menegur parti melalui media sosial sejak kebelakangan ini.

Ini berikutan keputusan parti itu untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, UMNO meneruskan kerjasama dengan kerajaan PN selagi Parlimen tidak dibubarkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menjelaskan, beliau membangkitkan isu ini supaya ahli dan penyokong UMNO dapat memahami realiti sebenar keputusan di ambil parti.

Ahmad Zahid turut mengakui, usaha memulihkan kembali UMNO selepas fitnah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukan satu kerja yang mudah.

"Kiri kanan, depan belakang, atas bawah musuh tidak pernah berhenti cuba menyekat," katanya.

Beliau turut mendakwa, pemimpin yang enggan menggadaikan UMNO, dijadikan sasaran dan menjadi mangsa propaganda kononnya mahu menyelamatkan diri daripada pendakwaan di mahkamah.

"Sedangkan pemimpin UMNO 'kluster mahkamah' inilah yang berani dan setia memperjuangkan UMNO walau apa menimpa mereka," katanya.

Sebaliknya, beliau menempelak bekas pemimpin UMNO yang melompat parti untuk menyelamatkan diri.

"Jika mahu melihat bagaimana kaedah menyelamatkan diri, boleh lihat katak yang kini selesa 'di seberang jalan'.

"Boleh juga lihat burung belatuk yang sedang kekenyangan mendapat dedak 'di belakang rumah," katanya.

Beliau menegaskan, penyatuan ummah yang diperjuangkan UMNO bukan untuk menguasai supaya terus berkuasa atau demi kepentingan pihak tertentu.

"Dasar penyatuan ummah dijadikan modal (menyerang UMNO) sedangkan perkara itu perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan.

Tiada ulasan: