HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Mac 2021

‘Cuti’ dulu berpolitik, fokus kepada Covid-19, Salleh nasihati pemimpin

Salleh Said Keruak berkata, untuk mencapai kedudukan ekonomi dan kesihatan 
awam yang lebih baik, para pemimpin perlu cari titik persamaan dan ketepikan 
perbezaan seketika. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri persekutuan menyeru agar ahli politik di kedua-dua belah pihak berhenti berpolitik dan fokus kepada wabak Covid-19, dengan berkata beliau yakin pilihan raya akan diadakan pada waktu yang tepat.

Menerusi laman blognya, Salleh Said Keruak berkata, hal-hal berkaitan politik perlu diketepikan bagi memberi laluan kepada kerajaan untuk menangani situasi Covid-19 dan isu-isu negara yang lain.

Beliau berkata, rakyat sudah muak dengan pemimpin yang sibuk berpolitik sedangkan apa yang mereka mahukan adalah supaya keadaan ekonomi dan kesihatan awam bertambah baik.

“Untuk mencapainya, kita perlu cari titik persamaan dan ketepikan perbezaan seketika. Fokus perlu diberikan utk memerangi Covid-19. Bercutilah daripada politik demi menyelamatkan ekonomi,” kata bekas ketua menteri Sabah itu.

“Tempoh setahun ini juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menunjukkan betapa seriusnya langkah kerajaan untuk menangani Covid-19. Ia bukan mudah untuk dilaksanakan dalam suasana politik yang tidak stabil.

“Bagaimanapun, saya perhatikan beliau mampu menguruskan perbezaan dengan tenang dan fokus. Walaupun berhadapan serangan dan kritikan dari pelbagai sudut dari tokoh-tokoh, beliau tetap tenang.”

Salleh turut berkata, beliau yakin dengan janji Muhyiddin untuk segera mengadakan pilihan raya apabila situasi Covid-19 bertambah baik, yang akan memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan.

“Sama ada mereka mengundi kerana parti, berdasarkan isu semasa atau persekitaran? Hanya rakyat boleh menjawab hal ini dan ini adalah hak mereka,” kata beliau.

Tiada ulasan: