HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Mac 2021

Dialog jadi medan Umno-PPBM persoal siapa iklas, jujur

Wan Saiful Wan Jan mendakwa kritikan Asyraf Wajdi Dusuki di media sosial 
dilihatnya sebagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional 
pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang turut dianggotai Umno 
dan beberapa parti politik lain.

PETALING JAYA: Dialog tiga parti malam ini berakhir dengan perdebatan panas antara Umno dan PPBM mempersoalkan kejujuran dan keikhlasan satu sama lain dalam pelbagai perkara, termasuk tatakelola pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ia bermula apabila Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan model gabungan PN seakan-akan sama dengan Barisan Nasional (BN), yang disertai beberapa parti politik dan warna logo hampir sama yang didakwanya akan menambah kekeliruan kepada masyarakat.

“Di peringkat awal, hendak ditarik pula parti komponen MIC dan hendak dicuri pula MCA. Ini sedikit sebanyak mengguris perasaan, kalau hendak berpakat mesti jujur dan ikhlas. Kalau tidak ada kejujuran, itulah yang akan mencetuskan polemik di peringkat atas dan bawah.

“Saya sendiri pernah ingatkan hentikan segala aktiviti mencuri dan mengambil ahli kita daripada akar umbi untuk selamatkan kerjasama. Saya bukan hendak menuduh, tetapi inilah sentimen di akar umbi, apabila dikatakan dalam keadaan PKP (perintah kawalan pergerakan), perlu fokus kepada rakyat, tetapi berpolitik di peringkat bawah ini nampak hebat.”

Asyraf berkata demikian dalam Dialog Konsensus Nasional anjuran Astro Awani, yang turut dihadiri Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, beberapa isu dan tuntutan Umno sebelum ini, seperti menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu Tabung Haji, penyelesaian dan pembelaan bagi kes anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim masih tidak diberikan perhatian oleh kerajaan PN.

“Kalau betul hendak martabatkan ‘rule of law’, laksanakan dahulu RCI Tabung Haji, sampai sekarang ini masih tidak ada. Kalau dahulu cakap lantang, hingga orang pertikaikan keadilannya, kini katanya kerajaan Melayu-Islam, tetapi perkara ini terus didiamkan saja.

“Jadi, janganlah cakap di depan kita tidak akan berpolitik kerana penularan wabak Covid-19 di dalam negara, tetapi hakikatnya dalam proses darurat inilah yang kita nampak mesyuarat jentera pilihan raya.”

Ia bagaimanapun dibalas Wan Saiful yang mendakwa kritikan Asyraf di media sosial dilihatnya sebagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang turut dianggotai Umno dan beberapa parti politik lain, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kritikan yang dilontarkan itu adalah kepada dirinya sendiri juga, dia yang duduk dalam kerajaan. Kita duduk dalam kerajaan ini perlu ingatkan bahawa kita adalah dalam satu sistem kerajaan yang kolektif. Pandangan itulah yang menyebabkan rakyat di sana dan saya juga keliru.

“Tuntutan dan kritikan menunjukkan seolah-olah Asyraf meletakkan dirinya hendak duduk di pembangkang dari awal. Ini pelik bila kita duduk dalam gabungan sama dalam kerajaan, dari pergi ke media, lebih senang hantar WhatsApp supaya kita boleh harmonikannya lebih awal, melainkan ia bertujuan untuk jatuhkan kerajaan sendiri.”

Asyraf kemudiannya menafikan dakwaan Wan Saiful dengan berkata, beliau bukan hanya bercakap di media saja, sebaliknya pernah mengemukakan memorandum dan berbincang dengan menteri berhubung isu dibangkitkannya, namun beliau mendakwa ia tidak berhasil.

“Kami hantar memorandum kepada menteri, bincang dengan menteri, bila hendak buat, tetapi senyap. Hendak minta WhatsApp, kami juga mahu tanya, kenapa bila hendak lantik Yang di-Pertua Dewan Negara tidak pula WhatsApp kami. Hanya tahu dua jam sebelum hendak dipilih di Dewan Negara. Jadi, perkara ini harus bersifat jujur dan ikhlas.”

Tiada ulasan: