Konvensyen DAP Perak dan pemilihan parti itu diganggu dengan kekecohan semasa berlangsung di Ipoh, Perak hari ini.
Ia berlaku apabila kem yang menggandingkan bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran dan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su, mendakwa wujud unsur 'pengundi hantu' semasa pemilihan.
Untuk rekod, kem Kulasegaran-Su kali ini berdepan dengan regu yang menyatukan dua sepupu iaitu Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham.
Nga merupakan bekas timbalan yang dipertua Dewan Rakyat manakala Ngeh pernah berkhidmat sebagai speaker DUN Perak sewaktu kerajaan Pakatan Harapan.
Nga juga adalah penyandang jawatan pengerusi DAP Perak.
Menerusi siaran langsung Facebook Sinchew Daily, kem Kulasegaran-Su mendakwa, jawatankuasa yang mengendalikan pemilihan masih meminta perwakilan menghadiri konvensyen meskipun waktu pendaftaran sudah berakhir.
Mereka turut mendakwa segelintir perwakilan dilihat memakai tanda nama bertulis tangan, dan bukannya pengenalan yang dihasilkan menerusi cetakan komputer.
Bercakap dengan pemberita kira-kira jam 12.15 tengah hari ini Setiausaha Politik Kulasegaran, Cheong Chee King, berkata mereka mahukan akses senarai kehadiran peserta namun permintaan itu ditolak.
“(Kad nama) perwakilan perlu dicetak dari komputer. Tetapi kami mendapati pada jam 11 tadi, mereka mula (memberikan kad) yang ditulis tangan,” katanya sambil memaparkan gambar kad yang dimaksudkan itu dalam telefon bimbitnya.
Menurut Su sepatutnya pendaftaran untuk menyertai pemilihan kali ini hanya dibuka sehingga jam 10 pagi namun didakwa waktu itu dilanjutkan lebih lama.
Lim panggil untuk berbincang
"Mereka (kem Nga-Ngeh) ada akses kepada senarai peserta dan tahu cawangan mana yang belum mendaftar. Jadi mereka menghubungi cawangan terbabit dan membenarkan pendaftaran.
"Orang saya pergi ke sana (kaunter pendaftaran) dan meminta mereka menghentikannya atau pun membenarkan kami memanggil orang kami juga.
"Pemilihan mesti adil. Kalau kamu benarkan semua orang memanggil (lebih ramai delegasi mendaftar) saya tak ada masalah. Saya boleh panggil, kamu boleh panggil, baru adil," katanya.
Berdasarkan beberapa video lain yang dimuat naik di media sosial, difahamkan beberapa kekecohan juga tercetus di antara dua kem berkenaan.
Difahamkan pihak polis turut dipanggil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Nga pula mengeluarkan kenyataan dan menjelaskan pegawai pemilihan parti yang bertanggungjawab mengendalikan pemilihan adalah orang yang dipilih ibu pejabat DAP.
Dia turut menggesa DAP mengenakan tindakan disiplin kepada individu yang mencetuskan kekecohan di persidangan tersebut.
“Semua proses adalah profesional, telus dan adil. Saya mohon maaf kerana terdapat kumpulan kecil yang menggangu kerana bimbang akan kalah.
“Saya harap Jawatankuasa Disiplin DAP mengambil tindakan terhadap individu terbabit bagi menjaga disiplin parti.
“Bagaimanapun ini sama sekali tidak mempengaruhi kejayaan mengadakan kongres parti," katanya.
Setakat jam 1 petang ini Malaysiakini difahamkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Kulasegaran dan Su untuk membincangkan pertikaian berhubung proses pengundian.
Lim meminta kedua-dua ahli parlimen terbabit memasuki bilik VIP di pusat konsvensyen berkenaan untuk berbincang kira-kira jam 12.35 tengah hari.
Ia berlangsung kira-kira 15 minit. Bagaimanapun Kulasegaran tidak memberikan sebarang komen kepada media, manakala Su berkata dia yakin pemilihan parti akan berlangsung secara adil dan telus.
Ketika dihubungi Malaysiakini pula Su enggan memberikan komen lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan