PUTRAJAYA: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipercayai menggerakkan agenda bagi menyekat peluang Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz untuk menjadi calon bagi kawasan Parlimen Putrajaya.
Menurut dakwaan sumber kepada Utusan Malaysia, ini selepas Ahli Parlimen Putrajaya itu dikatakan merancang agar Tun Faisal dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti dengan membuat aduan atas kesalahannya mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sumber itu yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Putrajaya mendakwa, perancangan dibuat melalui satu pertemuan tertutup dengan sekumpulan kira-kira 50 ahli jawatan kuasa bahagian dan ketua cawangan untuk menyokong tindakan tersebut dengan diminta setiap orang menandatangani surat sokongan.
“Dalam pertemuan di rumah Ku Nan (Tengku Adnan) itu, telefon bimbit kami dipegang supaya segala inti pati termasuk ucapannya yang banyak memburuk-burukkan Tun Faisal tidak dirakam.
“Malah kami diberi tekanan menandatangani surat aduan bagi menghadapkan Tun Faisal ke Lembaga Disiplin dan diberi RM100 seorang semasa perjumpaan itu,” dakwanya.
Pada 1 Mac lalu, Tun Faisal dipanggil menghadiri Tribunal Lembaga Disiplin UMNO dan diminta mengemukakan surat tunjuk sebab ekoran tindakannya yang membuat kenyataan terbuka menentang Ahmad Zahid.
Sumber itu mendakwa, tindakan Ku Nan itu dipercayai bagi menafikan peluang Tun Faisal menjadi calon jika beliau didapati bersalah dan dipecat daripada UMNO.
Maka dengan situasi itu dakwanya, peluang untuk Ku Nan menamakan anaknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan menggantikan dirinya sebagai calon Putrajaya, adalah amat mudah.
Ia sebagai meneruskan legasi keluarga memegang kerusi Putrajaya selepas mempertahankan kerusi itu selama empat penggal berturut-turut.
Apatah lagi, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkemungkinan tidak lagi bertanding dan jawatannya sebagai Ketua Bahagian terlucut jika rayuannya gagal selepas dikenakan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta kerana didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta dari seorang ahli perniagaan.
Ia sekali gus menyebabkan kedudukannya sebagai ahli Parlimen ketika ini bakal hilang kelayakan sekiranya didenda lebih RM2,000.
Sementara itu, Tun Faisal ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan menjadi ‘mangsa permainan politik yang jelik’ selepas aduan kesalahan itu dibawa sendiri daripada bahagian Putrajaya.
Katanya, semasa sesi tribunal itu, beliau meminta agar Lembaga Disiplin mendedahkan siapakah pengadu sebagai hak membuat pembelaan dan menjawab segala tuduhan.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan