HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mac 2021

Lebih banyak bahagian parti akan ikut Umno Sabah, Perlis terus kerjasama dengan PPBM, kata Annuar

Bekas setiausaha agung BN Annuar Musa berkata, dakwaan kononnya 147 
Umno bahagian membuat keputusan menolak PPBM adalah tidak tepat.

PETALING JAYA: Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa percaya lebih banyak bahagian Umno akan mengkaji semula pendiriannya dan memilih untuk bekerjasama dengan PPBM dalam pilihan raya umum akan datang selepas Umno Sabah dan Perlis mahu mengekalkan kerjasama itu.

Annuar berkata, langkah dan keputusan untuk menolak kerjasama dengan parti Melayu hanya akan menyebabkan undi Umno susut sehingga menyebabkan parti itu rugi.

Beliau berkata, ini memandangkan parti itu sudah memutuskan akan bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang.

“Menolak mana-mana parti Melayu hanya akan memecahkan undi Melayu dan merugikan Umno sendiri.

“Menolak kerjasama dengan parti Melayu hanya menyebabkan undi Umno akan susut dan Umno akan rugi.

“Tahniah Umno Perlis dan Sabah, yang lain saya percaya bakal menyusul,” katanya di Facebook.

Terdahulu, PPBM mengesahkan parti itu menerima surat daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 19 Feb yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan hanya bersama dengan kerajaan Perikatan Nasiona (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Setiausaha Agung Ahmad Maslan berkata, langkah mengutus surat kepada Presiden PPBM Muhyiddin Yassin itu dibuat bagi memenuhi permintaan parti berkenaan, yang mahu Umno menyatakan pendirian dengan jelas dalam usaha persiapan menghadapi PRU15.

Keputusan Umno Pusat itu bagaimanapun tidak diikuti oleh Umno Perlis dan Sabah.

Ketua Umno Perlis Shahidan Kassim berkata, Umno negeri itu akan tetap meneruskan kerjasama dengan PPBM pada PRU15, di sebalik keputusan MKT parti itu menamatkan kerjasama di peringkat nasional.

Manakala, Ketua Umno Sabah Bung Mokhtar Radin berkata, mereka akan tetap bekerjasama dengan PPBM menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditubuhkan sebelum ini, memandangkan Umno di negeri berkenaan mempunyai kuasa autonomi.

Annuar berkata, berdasarkan “tinjauan” di bahagian parti, jelas menunjukkan mereka lebih suka mengambil pendekatan lebih strategik untuk terus bekerjasama sesama parti Melayu dan hanya memutuskan pendirian selepas Parlimen dibubarkan.

Beliau berkata, rundingan perlu diteruskan bagi mencari formula terbaik.

“Semakin jelas dakwaan kononnya 147 Umno bahagian sudah membuat keputusan untuk menolak PPBM tidak tepat. Ia hanya angka yang dipetik daripada kumpulan WhatsApp ketua bahagian.

“Hanya 118 bahagian yang kemukakan usul, itupun kerana diarah.

“Bukan semua menepati prosedur mengemukakan usul, ramai juga yang tidak jelas dan setelah mendapat penjelasan, berhasrat mengubah pendirian dan mengambil pendirian lebih strategik,” katanya.

Menurut Annuar, beliau difahamkan beberapa pemimpin kanan parti akan mula turun ke bawah dan membuat penjelasan berhubung situasi berlaku dan mengambil pendirian untuk menolak “cara” yang digunakan oleh “pemimpin tertentu”.

Annuar bagaimanpun tidak menyebut secara khusus nama pemimpin yang dimaksudkannya mahupun pendirian mereka.

“Kerjasama antara semua parti Melayu, malah NGO dan orang Melayu wajib diteruskan.

“Malah, Umno wajib memimpin muafakat parti orang Melayu, bukan lari darinya. Apa-apa keputusan tidak harus dibuat sekarang kerana ia hanya akan melemahkan Umno,” katanya.

Tiada ulasan: