HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Mac 2021

Naib presiden MIC: Apa kaitan Undi 18 dengan kebimbangan ibu bapa?

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran menyuarakan kekeliruannya terhadap kenyataan Speaker Dewan Negara Rais Yatim yang merujuk kebimbangan ibu bapa dalam soal pelaksanaan Undi 18.

Sivarraajh yang juga ketua pasukan khas undi automatik 18 tahun BN berkata golongan muda perlu diberi peluang untuk terlibat dalam pembentukan kerajaan.

“Apa kaitan kekhuatiran ibu bapa dengan pilihan anak-anak mereka untuk terlibat dalam pilihan raya sebagai pengundi?

“[…] Kalau ikut logik Tan Sri, Tan Sri (Rais) anggap semua yang layak mengundi sebagai ahli politik?

“Anak-anak muda kita perlu diberi peluang dan ruang yang sewajarnya untuk turut melibatkan diri dalam proses membuat keputusan, termasuk dalam soal pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette memetik Rais sebagai berkata Undi 18 bukan setakat "menyusahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi mengelirukan ibu bapa."

Raisu juga berkata sama ada ibu bapa bersedia atau tidak dengan pelaksanaan dasar tersebut.

"Anak baru keluar tingatan lima terus hendak nak jadi ahli politik. Ini tidak mungkin," katanya seperti dipetik.

Sementara itu, Sivarraajh menggesa Rais supaya tidak merendah-rendahkan anak muda.

“Pindaan Perlembagaan untuk menurunkan had umur mengundi ini menerima sokongan semua ahli-ahli Dewan Rakyat. Jadi adalah lebih baik sebarang langkah terkait penerusan agenda ini diputuskan ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri.

"Tan Sri (Rais) perlu terima hakikat bahawa zaman sekarang adalah adalah zaman anak muda dan kita perlu beri kepercayaan pada mereka.

"Saya akan terus usaha bagi memantau dan memastikan pelaksanaan dasar terkait pelaksanaan Undi 18 akan dilaksanakan sebaik mungkin, dengan mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan orang muda demi kelangsungan demokrasi di Malaysia," katanya lagi. 

Ketika pentadbiran PH, Dewan Rakyat meluluskan untuk menurunkan had layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. Pendaftaran juga dibuat secara automatik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Tiada ulasan: