KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak percaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan melaksanakan Undi-18 kerana percaya majoriti pemuda marah dengan kerajaan itu ketika ini.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata, usul Undi-18 telah diluluskan sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen pada Julai 2019 dan dimaklumkan akan dilaksanakan selewat-lewatnya dua tahun kemudian iaitu Julai tahun ini.
“Maka kerajaan PN telah terperangkap dan masih terfikir (sama ada) mahu laksanakan atau tidak Undi-18 ini, kerana tidak meluluskannya bermaksud penghinaan paling besar terhadap Parlimen dan proses demokrasi.
“Pendapat saya, jika ianya telah diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan atau mana-mana Ahli Parlimen yang berkecuali, maka Undi-18 patut dilaksanakan mengikut jadual yang dipersetujui,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
Beliau menjawab kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang berkata, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar Undi-18, walaupun selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Katanya, negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu, memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi usia 18 tahun turut mengambil masa lama.
“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu mengambil masa yang sangat lama.
“Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan di seluruh negara,” kata Dr. Rais.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, usul dengan majoriti dua pertiga menyokong boleh tukar perlembagaan persekutuan.
“Inikan usul dengan sokongan 100 peratus undi secara sebulat suara?,” soal beliau. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan