Negara lain ada visi 50 ke 100 tahun, tapi Malaysia hanya ‘design’ politik kosong
BANGI – Transformasi politik Malaysia jauh ketinggalan di belakang berbanding negara-negara lain, yang sudah mempunyai visi 50 hingga 100 tahun masa depan pembangunan.
Atas dasar itu, pembaharuan perlu dilakukan dengan menggantikan pemerintah lama yang memegang tampuk pentadbiran negara selepas kemerdekaan.
Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, pemimpin yang ada sekarang sudah lama hilang tempoh sah laku, bahkan, parti – yang lebih 60 tahun memerintah – juga kehabisan idea tanpa pembaharuan, sehingga tidak memberi kesan kepada pembangunan negara.
“Cuma, mereka ini mempunyai akar umbi dan bertapak lama, selain ada penyokong, duit serta rangkaian yang memberi kelebihan untuk bertahan bagi satu tempoh masa.
“Tetapi, mereka tidak boleh diberi lagi mandat atau harapan untuk membawa sesuatu yang baharu kepada negara.
“Sedangkan kita atau dunia keseluruhannya berada pada fasa peralihan yang mahukan wawasan, gagasan dan strategi baharu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata, fasa perubahan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan juga pada peta politik serta penguasaan ekonomi dunia.
“Semua akan berubah. Blok-blok antara Timur dan Barat pun banyak berubah dan kita perlu melihat semula situasi dunia serta merangka visi masa depan yang sepatutnya untuk negara.
“Seperti negara-negara lain, mereka ada visi 50 tahun, 100 tahun yang meletakkan negara itu pada masa akan datang di tahap tertentu,” katanya.
Malangnya bagi Malaysia, pemimpin gerakan Islam itu berkata, negara hanya mempunyai senarai manifesto yang sangat lemah dan reka bentuk politik yang kosong tanpa idea membangunkan negara.
“Pakatan Harapan sebelum ini pun sekadar mahu menang PRU sahaja. Bila sudah menang, tak tahu buat apa dan tidak cukup kapasiti untuk lakukn apa pun.
“Sementara Perikatan Nasional, kita faham ia kerajaan sementara. Maka, situasi hari ini tidaklah ganjil sebab ia adalah kerajaan dalam situasi sementara.
“Jadi, tidak mungkin (PN) bawa satu gagasan besar dalam keadaan parti memerintah yang terlalu kecil dan bergantung pada parti-parti lain yang lebih besar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan