Bernama
Fadillah
berkata GPS akan meletakkan calonnya di semua kerusi DUN dan
Parlimen
dalam negeri, namun mereka tetap ada persefahaman dengan Bersatu.
KUCHING:
Apa-apa pendirian muktamad Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung
persefahaman dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam
menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN Sarawak) akan diumumkan pengerusi
GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ketua
Whip GPS di Parlimen, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini
gabungan melibatkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat
Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik
Progresif (PDP), memang akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sarawak nanti.
Beliau
berkata GPS akan meletakkan calonnya di semua kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) dan Parlimen dalam negeri, namun mereka tetap ada
persefahaman dengan Bersatu.
"Pendirian
muktamad (akan diumumkan) oleh Ketua Menteri (Abang Johari)," katanya
dalam sidang media selepas menghadiri program Malaysia Prihatin di sini,
hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden
Kanan PBB berkata demikian semasa ditanya pendirian GPS berhubung
ura-ura Bersatu bercadang untuk bertanding dalam PRN Sarawak nanti yang
dijangka akan diadakan sebaik sahaja berakhirnya tempoh darurat ekoran
penularan COVID-19 sekarang.
Bersatu
menduduki salah satu kerusi DUN di negeri ini menerusi ADUN Krian, Datuk
Ali Biju, yang memenangi kerusi berkenaan sebagai calon PKR dalam PRN
ke-11 yang diadakan pada tahun 2016.
Ali
yang juga Anggota Parlimen Saratok dan Timbalan Menteri Tenaga dan
Sumber Asli bertindak untuk menyertai blok yang diketuai Datuk Seri
Azmin Ali selepas keluar dari PKR dalam bulan Februari tahun lepas,
sebelum menyertai Bersatu pada bulan Ogos.
Selain
beliau, seorang lagi Ahli Parlimen dari Sarawak, Datuk Willie Mongin
yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan
mewakili Parlimen Puncak Borneo, turut mengambil langkah yang sama.
Sementara
itu, ketika mengulas mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Fadillah
yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata pada masa ini projek
berkenaan berada pada tahap 60 peratus siap di Sarawak dan 45 peratus
siap di Sabah.
Projek itu yang sebelum
ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022 telah tertangguh akibat
penamatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) itu sebelum ini.
"Saya
jangka projek ini akan tertangguh bagi tempoh setahun setengah. Ketika
ini kami sedang mencari jalan bagi melantik syarikat baharu bagi
membantu JKR Sarawak memantau pelaksanaan projek," katanya.
Projek Pan Borneo Sarawak yang bermula dari Telok Melano ke Lawas melibatkan kos pembinaan sebanyak RM16.117 bilion.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan