HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Mac 2021

Singkir pemimpin elit dan sombong, kata Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sokongan akar umbi masih kekal untuk 
Umno, yang menyumbang banyak buat pembangunan negara.

PETALING JAYA: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan parti itu meletakkan calon yang bebas daripada “kes mahkamah dan tidak sombong” untuk memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau memberi contoh bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas perdana menteri, Tunku Abdul Rahman sebagai pemimpin yang patut berkuasa.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, calon perlu “hands-on”, “bukannya duduk di pejabat saja dan beri arahan”.

“Mereka patut menjadi sebahagian daripada rakyat. Bukan elitis,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.Beliau memberi contoh Nik Aziz yang rendah diri dan sedia menemui rakyat.

“Beliau merendah diri. Rakyat sekarang nak orang yang senang dihubungi, mudah dibicarakan masalah-masalah yang berbangkit,” katanya sambil menambah ahli politik juga patut menjawab soalan dalam telefon bimbit mereka.

Beliau berkata, rakyat mahukan jawapan.

“Kita mesti respons. Kita sebagai pemimpin tak boleh nak bersikap tak endah kepada keadaan yang berlaku di sekeliling. Itu tanggungjawab kita.”

Razaleigh berkata, Tunku Abdul Rahman dihormati semua orang kerana beliau mampu menyatukan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

“Ini susah nak cari seorang yang boleh diterima sedemikian rupa. Tunku nampaknya boleh diterima sebagai bapa. Bapa kepada keluarga Cina, Dayak, semua pihaklah.”

Razaleigh, yang merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat dalam negara ini, turut ditanya bagaimana parti itu boleh kekal berkuasa.

Beliau mengingatkan ahli parti yang Umno ialah sebahagian daripada gerakan rakyat untuk melindungi orang Melayu dan Sultan ketika era penjajahan.

“Perjuangan Umno berdasar kepada perasaan kebangsaan, bukan seorang, dua menubuhkan Umno.”

Mengenai masa depan Umno, Razaleigh berkata, parti itu mampu bertahan selagi ia mendapat sokongan dan keyakinan rakyat.

“Walaupun kita dalam pilihan raya 2018, titik hitam dalam sejarah parti kita. Tetapi, nampak tak memberi kesan yang buruk sangat kepada kita, oleh kerana orang di bawah masih kekal.”

Beliau berkata, ramai yang mendapat manfaat daripada perjuangan dan usaha Umno sejak dahulu, termasuk berjaya meningkatkan taraf hidup ramai orang melalui pendidikan, perumahan, pekerjaan dan menyediakan kemudahan awam.

Mengenai ketidakstabilan politik semasa, beliau mempersoalkan jika perdana menteri masih mempunyai sokongan majoriti dan sidang Parlimen perlu diadakan untuk menentukannya.

“Kalau dia (Muhyiddin Yassin) kekal ada sokongan, jalanlah, tak ada siapa nak rebut kedudukan itu,” katanya sambil menambah ia sebahagian daripada Perlembagaan yang perlu dilindungi rakyat.

Razaleigh turut membangkitkan persoalan mengenai keyakinan pelabur dalam negara dan kehilangan pekerjaan.

Katanya, rakyat jelata menderita.

“Baru-baru ini, satu jawatan kosong kerani, 4,000 orang minta.

“Ada orang yang makan barangkali dua hari sekali. Cubalah tanya (orang ramai). Saya dah tanya…berlaku.”

 

Tiada ulasan: