KUALA LUMPUR – Hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah yang tidak terjejas dengan senario politik perlu diterjemahkan ke peringkat nasional.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pendirian kedua-dua parti itu di Sabah itu memberikan manfaat khususnya bagi membentuk satu gagasan politik yang dapat stabil menjelang PRU-15.
“Pilihan Raya Negeri Sabah yang lepas harus dijadikan iktibar bahawa rakyat memilih penjajaran baru yang menjanjikan kestabilan politik negara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ronald berkata, perpaduan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) harus menjadi teras kepada pendekatan dan penjajaran politik yang baru di negara ini.
Terdahulu beliau menyifatkan pendirian UMNO Sabah dan Bersatu untuk kekal bekerjasama menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selari dengan perjuangan gabungan itu untuk membentuk perpaduan erat demi kestabilan politik di Sabah.
Jelasnya, keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu telah menunjukkan hasrat rakyat di Sabah untuk melihat satu bentuk perpaduan erat demi kestabilan politik.
“Negara memerlukan satu bentuk kestabilan politik yang padu untuk menangani isu lebih besar iaitu ekonomi dan pembangunan negara.
“Rakyat menaruh harapan agar pendekatan politik yang diambil satu pendekatan yang menjanjikan kestabilan politik dan masa depan negara,” menurutnya.
Justeru, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata Bersatu mengalu-alukan pendirian UMNO Sabah untuk terus bekerjasama dengan Bersatu peringkat negeri Sabah di bawah GRS.
Pada Jumaat lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dipetik sebagai berkata, parti itu di Negeri Di Bawah Bayu itu mempunyai autonomi sendiri dan akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan parti-parti lain dalam GRS.
Kemudian, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pula menyifatkan kerjasama hubungan kedua-dua parti itu tidak tergugat dengan senario politik semasa di Semenanjung.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan