Astro Awani
Penarikan diri UMNO daripada Perikatan Nasional hanya akan merugikan
kedua-dua pihak, kata Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri.
KUALA LUMPUR :
Sekiranya UMNO yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal dengan
keputusan tidak bersama dengan Perikatan Nasional (PN), tindakan itu
hanya akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
Menurut
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti
Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri, keadaan itu juga
akan merugikan UMNO dan PN.
Bahkan,
katanya, persaingan sengit mungkin wujud pada Pilihan Raya Umum ke-15
(PRU15) malah tidak mustahil arena politik negara bakal menyaksikan UMNO
bergerak solo selepas ini.
“Pada pandangan saya, ini secara tidak langsung beri kelebihan kepada pihak lawan. Pakatan Harapan sudah semestinya beruntung.
“Kalau
ikut kenyataan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), mereka hanya
memerlukan sokongan 10 ke 15 peratus orang Melayu untuk membolehkan
mereka jadi kerajaan.
“Ini sudah
semestinya merugikan pihak berkepentingan dalam UMNO dan PN dalam PRU15
sekiranya perpecahan ini berlaku,” katanya kepada Astro AWANI.
Semalam, Astro AWANI
melaporkan sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak bersama PN dalam
pilihan raya akan datang, PH mempunyai peluang cerah untuk kembali
menjadi kerajaan, dakwa Guan Eng.
Menurut
Ahli Parlimen Bagan itu, sekiranya memperoleh sokongan tambahan 15
peratus pengundi Melayu, hasrat PH untuk kembali menjadi kerajaan
mungkin dapat direalisasikan.
Jelasnya,
berdasarkan satu dapatan kajian, situasi itu boleh berlaku sekiranya
jumlah peratusan itu ditambah dengan pengundi bukan Melayu yang sedia
menyokong PH.
Tambahnya, senario itu sekali gus memungkinkan PH memperolehi tambahan 35 peratus undi dan dapat mentadbir semula negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan