HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Mac 2021

Umno boleh menang 89 kerusi jika dapat sokongan parti sahabat, kata Annuar

Annuar Musa berkata, Umno sedang melalui fasa dalam menentukan strategi, 
walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpinnya.

PETALING JAYA: Bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Annuar Musa berkata, Umno boleh memenangi 89 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-15, jika ia mencapai kata sepakat dan mendapat sokongan parti sahabat.

Katanya, Umno perlu membuat rumusan formula untuk menang dan mengetepikan soal individu, puak dan “warlords”.

Baginya, partinya itu sedang melalui fasa dalam menentukan strategi, walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpinnya.

“Kita mendoakan Umno beroleh formula yang menjamin kita mengekalkan semua 55 kerusi yang kita menangi. Kita juga harapkan muafakat yang boleh menambahkan 11 lagi kerusi yang kita tewas dalam pertandingan penjuru dan jika sepakat, kita menang mudah di situ.

“Selain itu, ada 23 lagi kerusi yang Umno cuma perlukan 5% ‘swing’ untuk menawannya dalam PRU15. Ertinya, terdapat 89 kerusi yang Umno punyai prospek untuk menang dengan syarat Umno dapat dokongan dan sepakat dengan parti sahabat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ahli Parlimen Ketereh itu bagaimanapun tidak menjelaskan siapakah “sahabat” yang dimaksudkannya.

Sebelum ini, Annuar berkata, Umno, PAS dan PPBM dijangka mampu memenangi 149 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu, sekiranya tiada pertembungan tiga penjuru pada PRU15.

Malah, Annuar yakin isu perebutan kerusi Parlimen PRU15 antara parti tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh presidennya.

Katanya, secara asas, formula yang sepatutnya digunakan adalah Umno mesti diberikan keutamaan untuk mempertahankan semua 55 kerusi yang dimenanginya pada PRU14, walaupun ada wakil rakyatnya yang kini bersama PPBM.

Tiada ulasan: