MALAYSIAKINI
Pemuda Bersatu (Armada) berpendapat kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim mengenai pelaksanaan Undi 18 bersifat peribadi dan tidak mewakili kerajaan.
Ketua Penerangan Armada Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata mereka sendiri menyokong pelaksanaan Undi 18 dan berharap semua proses mengenainya diteliti dengan baik agar boleh berlangsung dengan lanar.
"Armada berpendapat kenyataan Rais merupakan pandangan peribadi beliau dan secara jelas ianya tidak mewakili kerajaan seperti tuduhan yang dibuat oleh beberapa entiti yang berniat jahat memburukkan kerajaan.
"Rais merupakan speaker Dewan Negara, bukannya wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau individu yang terlibat dalam kerajaan selaku entiti yang bercakap mewakili pihak kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beberapa pihak mendesak kerajaan membuat penjelasan berhubung kenyataan dibuat Rais mengenai Undi 18 dalam temu bual disiarkan semalam.
Rais yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata Undi 18 tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang kerana berdepan banyak kekangan.
Untuk rekod Undi 18 membolehkan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas layak mengundi. Melalui inisiatif digerakkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu pendaftaran juga berlaku secara automatik.
Rang undang-undang itu diluluskan 211 daripada 222 ahli parlimen pada 16 Julai 2019 sebelum diluluskan pula - dengan majoriti dua per tiga - oleh Dewan Negara 10 hari kemudian.
Apabila Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan menyatakan pelaksanaan Undi 18 dijangka berlangsung pada selewat-lewatnya Julai ini.
Ekoran kenyataan Rais itu pagi tadi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendesak Putrajaya menyatakan pendirian mereka berhubung Undi 18.
Dalam keadaan politik yang tidak menentu sekarang sesetengah pihak menjangkakan pilihan raya umum boleh berlangsung sebaik saja ancaman Covid-19 dapat dikawal.
Mohd Ashraf berkata kerajaan PN ditohmah dalam isu Undi 18 dan dakwaan tersebut dibuat untuk mencipta sentimen buruk kepada kerajaan.
Katanya kegagalan memahami struktur yang
ada - iaitu Rais hanya merupakan speaker Dewan Negara - membuktikan
pentingnya pendidikan politik untuk diajarkan kepada masyarakat, anak
muda dan parti politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan