KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa masih terdapat usaha untuk melemahkan UMNO melalui pendekatan ‘pisau, pen dan buku cek’.
Menurutnya, usaha memecah-belahkan parti itu bukan sahaja dilakukan secara luaran tetapi juga menggunakan ahli parti itu sendiri.
“Usaha melemahkan UMNO masih berterusan sehinggalah ke saat ini termasuk menggunakan pendekatan ‘pisau, pen dan buku cek’ bagi memecah-belahkan UMNO melalui juak-juak dalaman sendiri mengikut perencanaan ‘scheme of thing’.
“Namun, Alhamdulillah UMNO masih dipelihara Allah kerana terus mampu bertahan dan tetap utuh hingga saat ini. Kekuatan dan keutuhan sebenar UMNO terletak kepada keikhlasan akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai usaha telah dibuat untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO dengan menggunakan pelbagai cara dari luar dan dalam sejak parti itu kehilangan kuasa pentabiran pada Mei 2018.
Ushaha itu dimulakan oleh 16 orang bekas ahli yang menyeret UMNO ke mahkamah untuk diharamkan.
Selain itu terdapat ugutan supaya pimpinan UMNO untuk membubarkan parti jika tidak mahu didakwa dan diambil tindakan.
“Hakikatnya, ramai pemimpin-pemimpin UMNO diugut, ditekan dan digasak dengan menggunakan pelbagai agensi-agensi di bawah Kerajaan PH waktu itu.
“Ahli yang punya ketahanan terus kekal setia mempertahankan parti biarpun menjadi lilin membakar diri. Namun, tidak kurang juga yang cuak, gelabah dan tidak tahan diuji, lantas keluar meninggalkan parti.
“Tergamak pula menikam parti yang pernah mengangkat dan meletakkan mereka di posisi tertinggi lagi dihormati. Ironinya, mereka yang terpalit ini tiba-tiba terus disucikan dan tidak lagi kedengaran khabar sebarang tindakan mahupun pendakwaan,” katanya.
Dalam satu hantarannya hari ini, Asyraf Wajdi menasihatkan ahli UMNO berjumlah 3.5 juta orang di 191 bahagian dan lebih 22,000 cawangan untuk tidak terpengaruh dengan dakyah yang dilemparkan oleh pihak lawan untuk melemahkan parti itu.
Beliau meminta ahli untuk teguhkan kesatuan dan terus bersoladiriti demi keutuhan dan kelangsungan UMNO.
“Jangan menari mengikut lagu dendangan musuh yang sentiasa khianat mendengki! Jangan biarkan kita mudah dipermain dan dimanipulasi!
“Utamakan kesatuan dan solidariti! Jangan cepat percaya dengan cerita-cerita sensasi yang hanya mencetuskan prasangka dan persepsi!”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan