Wanita MCA mengulangi pendirian mereka yang mahu kerajaan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dan kebenaran penukaran agama anak secara sebelah pihak.
Ketuanya Heng Seai Kie berkata cara paling berkesan dan mudah untuk meningkatkan status serta mempertahankan hak wanita adalah melalui pindaan dasar dan undang-undang negara.
“Perkahwinan kanak-kanak ini menimbulkan masalah kerana anak-anak berusia bawah 18 tahun masih dalam peringkat pembelajaran dan tidak mempunyai pemikiran matang untuk berkahwin atau membuat keputusan tentang hidupnya.
“Lagipun mengikut Fasal 611 Akta Kanak-kanak 2001 sesiapa yang mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak perempuan bawah umur 16 tahun - sama ada dengan kerelaan kanak-kanak tersebut atau tidak - akan dianggap sebagai melakukan jenayah rogol.
“Sehubungan itu kami mencadangkan supaya perkahwinan kanak-kanak ditakrifkan sebagai kesalahan jenayah mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya hari ini.
Menyampaikan ucapan dasar pada mesyuarat tahunan MCA hari ini Heng berkata isu tersebut juga tidak wajar dibeza-bezakan berdasarkan kaum atau agama kerana ia bertujuan melindungi keselamatan dan hak asasi kanak-kanak.
Tambahnya, ia sekali gus menyelesaikan masalah pelanggaran konvensyen antarabangsa.
Berhubung penukaran agama anak secara sebelah pihak, Heng mencadangkan supaya kerajaan memasukkan semula fasal 88 berkaitan perkara itu pada Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
Katanya, langkah berkenaan bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian agama anak apabila seorang daripada pasangan menukar agama, selain mengelakkan pihak tertentu memperalatkan agama untuk menganiayai bekas isteri dan anak- anak mereka.
Pada masa sama, Heng menggesa akta tersebut dipinda supaya bekas suami yang ingkar membayar nafkah hidup kepada bekas isterinya dikenakan hukuman penjara.
Dia turut meminta kerajaan meminda peruntukan berkenaan isu pewarisan kenegaraan.
“Ia bagi memastikan anak kepada individu yang berkahwin dengan warga asing serta warganegara Malaysia yang bermastautin di luar negara boleh mewarisi kewarganegaraan Malaysia secara automatik,” katanya.
Bercakap mengenai persediaan pilihan raya umum akan datang Heng berkata Wanita MCA menyeru pengundi Cina di negara ini memainkan peranan mereka melalui kempen dan menyokong program Jalinan Rakyat yang dilakukan oleh Wanita MCA.
Menurut Heng melalui program Jalinan Rakyat itu Wanita MCA melakukan kunjungan dari rumah ke rumah dan petugas mereka dapat mendengar serta memahami pelbagai masalah harian yang dihadapi rakyat.
Dengan itu katanya ia memudahkan agensi kerajaan yang berkenaan menyelesaikan masalah dengan berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan