Tajuk artikel ini saya pinjam daripada lagu popular kumpulan Sweet Charity. Mohon izin Ramli Sarip dan bekas anggota Sweet Charity.
Lagu itu kita tahu merupakan nasihat kepada jejaka. Bila sudah bertemu dara “yang banyak memberi harapan dengan sepenuh jiwa” jangan tunggu lama-lama nanti diambil orang. Jika temui dara yang “terlalu banyak meminta, tiada menimbang rasa” juga jangan tunggu lama-lama, nanti makin menyeksa.
Artikel ini bukan mengenai itu. Bukan nasihat untuk jejaka mengenai dara. Ini mengenai kerajaan khususnya Perdana Menteri yang dilihat sesetengah pihak tunggu lama-lama untuk buka semula Parlimen.
Menggunakan Covid-19 sebagai “sebab” atau “alasan”, Muhyiddin Yassin dan kerajaannya jelas keberatan untuk memanggil Parlimen bersidang semula dalam tempoh terdekat, apatah lagi dua minggu sebagaimana dituntut Umno.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mahu Parlimen bersidang “secepat mungkin”.
Tiga hari lalu Muhyiddin mengumumkan satu jawatankuasa akan dibentuk untuk meneliti “aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan”. Jawatankuasa itu kata beliau akan melibatkan wakil pembangkang.
Pengumuman itu mencetuskan reaksi sebahagian (besar?) rakyat yang memanfaatkan platform media sosial untuk meluahkan perasaan, pandangan, serta komen. Kebanyakannya reaksi negatf. Ada yang keras, panas, dan berapi.
Yang saya tonjolkan disini ialah reaksi sindiran. Agak lucu. Tetapi sinis, pedih, dan tajam.
Contoh. Secepat mungkin kata seorang warga net ialah “ASAP” atau “as SOON as possible” bukan “as SLOW as possible”. Merujuk titah di Raja dan jelas untuk siapa itu ditujukan. Saya tidak kenal secara peribadi si penghantar.
Bagaimanapun ada juga penghantar Facebook yang saya kenal, termasuk kawan lama yang membuat hantaran ini : “Apa kata kita menamakannya sebagai Jawatankuasa Bagi Mencari Alasan Mentakrif Perkataan Secepat Mungkin”.
Beliau turut menghuraikan apa yang beliau panggil “jangkaan pelan cepat mungkin”, seperti berikut:
“Jun umum tubuh jawatankuasa , Julai pilih ahli jawatankuasa, Ogos jawatankuasa bermesyuarat , September jawatankuasa mengkaji, Oktober jawatankuasa bentang laporan, November umum laporan jawatankuasa, Disember…”
Kata seorang lagi kawan lama: “Jawatankuasa untuk menubuhkan jawatankuasa membincangkan jawatankuasa”.
Wartawan veteran A Kadir Jasin pula memetik kata-kata pelawak Fred Allen: “Jawatankuasa adalah sekumpulan orang yang tidak bersedia yang dilantik oleh orang yang tidak bersedia melakukan apa-apa”.
Tentu lah bekas perdana menteri Najib Razak turut masuk campur dengan “menyekolahkan” kerajaan bagaimana caranya Parlimen boleh bersidang. “Langkah pertama hantar notis kepada Speaker untuk suruh Parlimen bersidang. Langkah kedua bersidang. Habis,” kata beliau.
Kata Najib lagi, “Agong dan Raja-Raja Melayu tak titah untuk kamu bentuk jawatankuasa untuk kaji bagaimana Parlimen boleh bersidang”.
Suka atau tidak dengan Najib tetapi ada benarnya kata-kata beliau. Hakikatnya ramai termasuk saya yang beranggapan pembukaan parlimen dilengahkan tanpa sebab rasional.
Bagi saya, Muhyiddin sedang “buying time, membeli waktu”. Tetapi untuk apa?
Kata penganalis politik Oh Ei Sun, perdana menteri dan pentadbirannya dalam keadaan terdesak dan oleh itu perlu “memanjangkan jangka hayat kerajaannya”. Waktu yang ada, kata Oh, boleh atau akan digunakan “untuk memperkukuhkan kedudukan dengan meraih sokongan Ahli Parlimen”.
Rasanya kita faham akan maksudnya.
Penganalis politik Sivamurugan Pandian juga berpendapat masa yang ada akan digunakan Perikatan Nasional untuk “berunding mengenai isu-isu tertentu (dengan) mengambil kira bagaimana menteri besar Perak digulingkan dulu”.
Disember lalu, Menteri Besar Perak ketika itu, Ahmad Faizal Azumu, terpaksa meletak jawatan setelah gagal mendapat sokongan majoriti ADUN untuk melepasi usul undian percaya. Usul itu dibawa Umno sendiri yang menjadi rakan komponen kerajaan negeri pimpinan timbalan presiden Bersatu itu.
Namun untuk sidang semula Parlimen, pembangkang sudah menegaskan tidak ada usul undi tidak percaya yang akan dibawa terhadap Muhyiddin. Adakah kerajaan tidak yakin akan “janji” itu ?
“Saya fikir Perikatan Nasional menjangkakan Anwar mungkin akan mendakwa beliau ada angka sokongan apabila Parlimen bersidang semula,” menurut Siva. Kita tahu Anwar mana yang dimaksudkan.
Mendengar Siva berkata demikian, bertanya saya kepada diri sendiri mengapa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, baru-baru ini tidak semena-mena mengingatkan rakyat “jangan tertipu buat kali kedua dengan memilih Pakatan Harapan sebagai pemerintah pada pilihan raya umum akan datang”.
Nada kenyataan itu memberi bayangan Hadi seakan cemas dan panik. Bukankah PRU masih jauh? Malah tidak boleh diadakan pada waktu pandemik ini? Mungkin beliau tahu apa yang kita semua tidak tahu? Apa agaknya?
Apa pun kata Siva, langkah berlengah-lengah akan terus memberi kesan terhadap “moral legitimacy” atau keabsahan moral kerajaan dan keyakinan umum terhadapnya.
Bagi pAhmad Fauzi Abdul Hamid, perdana menteri mengambil risiko menjejaskan “saki baki sokongan masyarakat Melayu Islam“ jika Parlimen tidak bersidang secepat mungkin kerana beliau akan dilihat menidakkan institusi Istana dalam suatu isu yang amat penting.
Institusi raja adalah simbol pemerintahan Melayu-Islam dan kerajaan ini pula gemar digelar pentadbiran Melayu-Islam. Bak kata Fauzi, lebih lama Muhyiddin cuba membeli waktu, lebih “derhaka pentadirannya akan dilihat” bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga rakyat.
Saya tidak berhasrat komen lanjut. Cuma sekadar mengingatkan sudah lama Ramli Sarip nyanyi “jangan tunggu lama-lama”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan