
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan Parti-parti Pembangkang (JPPH) menggesa kerajaan memandang serius pengurusan peperiksaan SPM dan SPMV bagi tahun 2021 dan kesiapsiagaan calonnya.
Kegagalan Kementerian Pendidikan dalam pengurusan SPM 2020 menyebabkan berlaku tekanan mental dan fizikal yang sepatutnya tidak wujud kepada pelajar, guru-guru dan ibu bapa.
Menurut Pengerusi JPPH, Dr. Maszlee Malik, perkara itu telah disuarakan oleh semua pihak sama ada melalui media arus perdana mahupun media sosial.
“Malangnya, Menteri Kanan Pendidikan dan kedua-dua timbalannya tidak mengendahkannya seperti kebiasaan, malah memandang sepi terhadap keluh kesah serta penderitaan yang dialami oleh calon tersebut, keluarga dan juga guru.
“Kegagalan seumpama ini tidak boleh diulang sama sekali bagi kumpulan pelajar yang bakal menduduki SPM dan SPMV pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Pagi tadi, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin mengumumkan peperiksaan SPM 2021 akan bermula Februari dan Mac 2022 berikutan situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.
Beliau dilaporkan berkata, ujian lisan dan amali Sains akan bermula pada Februari 2022, manakala peperiksaan bertulis pada Mac 2022.
Menurut Dr. Maszlee yang merupakan bekas Menteri Pendidikan selama 22 bulan bawah kerajaan PH, mengulangi kesilapan sama berulang-ulang kali tanpa inisiatif untuk menghindarinya dan seterusnya memperbaiki keadaan adalah lambang kegagalan sesebuah kerajaan.
Ujar beliau, sikap berdiam diri tanpa mempedulikan suara hati rakyat dan pemegang taruh juga merupakan tanda sebuah kerajaan yang gagal.
Katanya, Kohort SPM 2021 merupakan kumpulan rintis pelajar yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diperkenalkan pada tahun 2017, manakala format SPM untuk kohort itu hanya diumumkan tahun lalu.
“Dengan pengenalan ciri-ciri baru tersebut, ditambah pula sesi persekolahan yang terganggu dan tergendala berikutan pandemik Covid-19, pelajar SPM 2021 akan menghadapi cabaran lebih besar dan mencabar berbanding calon SPM 2020 jika kerajaan gagal menguruskan sesi peperiksaan ini.
“Jika kegagalan Menteri Pendidikan mengendalikan krisis SPM dan SPMV tahun lepas disebabkan tiada pengalaman memimpin sektor pendidikan dalam keadaan krisis yang serba baharu, ia masih boleh diterima sebagai alasan.
“Bagaimanapun, jika kegagalan itu masih diulangi untuk tahun ini dengan segala kelembapan dalam membuat keputusan, Menteri, kedua timbalannya dan kerajaan sudah tidak ada lagi alasan pada tahun ini,” ujarnya.
Katanya, jawatankuasa itu menggesa Dr. Mohd Radzi dan dua timbalannya segera tampil membuat pengumuman awal berkaitan SPM dan SPMV 2021 demi kebaikan semua pihak, terutama calonnya.
Logiknya, kata beliau, jika jadual tradisi masih digunapakai, pelajar hanya mempunyai masa lebih kurang lima bulan untuk membuat persiapan dan akan meresahkan semua pihak yang terlibat. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan