HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Jun 2021

Kerajaan Perak mengaku beri 20,000 telefon pintar murah kepada pelajar


Pemberian telefon pintar murah untuk mengelak disalahgunakan pelajar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud. 
 
Kerajaan Perak hari ini mengakui 20,000 telefon pintar yang diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40 untuk program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) adalah jenis murah untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Berdasarkan klip video yang dikongsikan beberapa pihak berkaitan, telefon itu dipercayai model Yes Altitude 3 M685Y4.

Semakan mendapati telefon pintar berkenaan menggunakan unit pemprosesan pusat (CPU) MediaTek MT6739WA yang dilancarkan pada September 2017, sementara memori capaian rawak (RAM) pula hanya 1GB (1 gigabait) dan dikatakan tidak rasional digunakan untuk pembelajaran.

Yes Altitude 3 model M685Y4 didatangkan dengan aplikasi Frog Play, sebuah platform pembelajaran yang dikatakan dibangunkan oleh pihak yang ada kaitan dengan Yes 4G.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pemberian telefon pintar bermutu rendah sekurang-kurangnya dapat mengelakkan daripada penyalahgunaan peranti terbabit bagi tujuan seperti bermain permainan video.

“Suka untuk saya maklumkan bahawa selepas menelusuri kajian penggunaan peranti sebelum ini, maka ia disediakan hanya khusus untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) termasuk melalui aplikasi pembelajaran dinamakan ‘Frog Play’.

“Iaitu aplikasi yang mengandungi pelbagai kuiz ulang kaji untuk semua mata pelajaran teras yang diajar di sekolah daripada Tahun Satu sehingga Tingkatan Enam yang dapat diakses 24 jam sehari,” katanya kepada media selepas majlis pengagihan telefon itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau hari ini.

Katanya jika ada di antara pelajar yang merungut telefon itu tidak berkualiti atau sistemnya perlahan, pastinya mereka menggunakannya untuk permainan dalam talian dan sebagainya.

“Justeru saya sarankan agar pelajar serta ibu bapa yang menerima pakej rangsangan telefon pintar TCS ini supaya menggunakannya sebaik mungkin khusus untuk PdPR dan tuisyen dalam talian (menggunakan aplikasi FrogPlay),” katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial video dimuatnaik seorang YouTuber mendakwa telefon pintar dibekalkan syarikat telekomunikasi yang menjadi rakan strategik bagi program TCS tidak berkualiti termasuk dari segi kamera, jangka hayat bateri, dan tidak sesuai bagi pemasangan perisian tertentu.

Tiada ulasan: