HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Kes Covid-19 meningkat kerana kerajaan gagal dalam program vaksinasi – Anwar

Manzaidi Mohd Amin
MGF27042021_ANWAR-BERI-KETERANGAN04
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan persidangan khas baru-baru ini kerana menyedari keresahan rakyat, suasana politik dan ekonomi yang berkecamuk, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keadaan yang haru biru itu mengundang tuanku untuk bertitah, sekali gus menyaksikan campur tangan yang bersejarah dalam politik Malaysia.

Katanya, keadaan pentadbiran negara kini sudah sampai ke kemuncaknya yang terkait dengan masalah pandemik Covid-19.

Jelas Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) ini, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, 2.0 dan terbaharu PKP penuh ada kemunasabahannya, tetapi masalah itu boleh ditangani dengan vaksin.

“Kegagalan paling besar kerajaan adalah penyediaan vaksin yang secukupnya. Mereka buat kenyataan rambang, ikut selera politik untuk mengelirukan rakyat.

“Kerajaan kata, program vaksinasi mencapai 75,000, 100,000 dan 200,000 sehari, tetapi angka itu sebenarnya jauh daripada unjuran yang sepatutnya.

“Kalau macam ini keadaan sehingga sekarang, tidak mungkin kita akan dapat meleraikan masalah menangani Covid-19 sehingga akhir tahun,” katanya pada Ucapan Dasar Presiden ketika merasmikan Kongres Nasional Keadilan ke-15 secara maya, hari ini.

Beliau memberi amaran, sekiranya pemimpin bertugas untuk mengkhianati dan berebut jawatan, usaha melandaikan lengkuk Covid-19 tidak akan berjaya, malah malapetakanya akan menimpa rakyat jelata.

Katanya, PKR akan memainkan isu ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat, bahawa pentadbiran sekarang ini gagal dan telah mengkhianati amanah memimpin.

Anwar memberi contoh, walaupun melaksanakan PKP 3.0, tetapi kes positif terus meningkat, begitu juga dengan jumlah kematian yang semakin bertambah.

“Kita harus sentiasa waspada, tetapi masalah Covid-19 ini dikaitkan dengan ekonomi, iaitu soal pengangguran yang jumlahnya sekarang hampir 800,000, manakala yang dianggap bekerja tetapi tidak sepenuh masa mencecah 2.1 juta orang.

“Saya selalu tegaskan, apabila kita cuai dalam vaksin atau lambat bertindak, kita akan jauh terkebelakang dalam ASEAN, apatah lagi nak banding dengan Amerika Syarikat, Eropah dan United Kingdom (UK).

“Sebab itu, bila kita laksanakan PKP, tetapi gagal tanganinya, ia akan menyebabkan rakyat hilang sumber pendapatan, rakyat hidup melarat, sedangkan bantuan yang diberikan tidak setimpal,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: