HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Jun 2021

Mageran langkah ke belakang, kerajaan awam masih berfungsi

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad 
 
Gesaan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menubuhkan sebuah badan yang berkuasa mutlak seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada masa sekarang adalah langkah ke belakang, berbeza dengan Mageran 1969.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata Malaysia sekarang ini mempunyai sebuah kerajaan dan Kabinet yang berfungsi, berbeza dengan 1969 di mana Kabinet belum dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 1967 dan kerajaan yang ada hanya sebuah kerajaan sementara atau ‘care taker government’.

Berkongsi pandangan mengenai pengurusan darurat negara dalam satu klip video yang dimuat naik di laman Facebook beliau malam tadi, Marzuki berkata sejak kebelakangan ini ada beberapa pihak mengemukakan pelbagai pandangan berhubung bagaimana negara patut diurus dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Ada yang mencadangkan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Majlis Gerakan Negara yang mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara seperti mana yang dilaksanakan semasa proklamasi darurat tahun 1969 dahulu,” katanya.

Katanya, perisytiharan darurat 1969 adalah disebabkan masalah keselamatan akibat rusuhan kaum dan Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah bersetuju melantik Allahyarham Tun Abdul Razak Husin sebagai Pengarah Mageran dan memberi kuasa mutlak pemerintahan dan eksekutif kepadanya.

Marzuki berkata keadaan yang sedang dihadapi negara sekarang ini jauh berbeza daripada situasi pada 1969.

“Pertamanya kita tidak berhadapan dengan darurat keselamatan, tetapi darurat kesihatan. Kedua, kita telah ada Kabinet yang telah berfungsi.

“Kabinet bersidang pada setiap hari Rabu dan banyak keputusan dibuat bukan sahaja mengenai pandemik Covid-19 tetapi juga pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, kebajikan rakyat, keselamatan, pertahanan, kewangan, pendidikan dan hubungan luar negara dan lain-lain perkara yang berkaitan,” katanya.

Ketiga katanya, kerajaan juga telah mempunyai beberapa mekanisme bersesuaian untuk mengurus darurat kesihatan, bukan darurat keselamatan, khusus bagi menangani pandemik Covid-19.

Oleh itu katanya, gesaan berkenaan hanya akan merencatkan perancangan kerajaan dan segala usaha penjawat awam, petugas barisan hadapan, industri dan rakyat seluruhnya untuk memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang kita hadapi pada masa ini.

Marzuki berkata, beliau percaya aktiviti politik dan proses demokrasi akan berlangsung dengan lebih rancak sebaik sahaja pandemik Covid-19 ini berakhir.

“Bukan sahaja nak adakan sidang Parlimen, nak ada pilihan raya pun boleh. Jadi buat masa ini kita tumpukan dahulu usaha kita untuk mengatasi masalah Covid-19.

“Dengan proses vaksinasi yang sedang giat dijalankan dan PKP yang sedang berkuat kuasa saya percaya kita memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk keluar daripada krisis yang sedang membelengu kita pada masa ini,” katanya.

Ikuti perkongsian penuh beliau di ruang Rencana Agenda Daily.

Tiada ulasan: