HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Jun 2021

Mengecewakan tiada mesyuarat tergempar parlimen - Kit Siang

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata tindakan kerajaan yang tidak mengadakan mesyuarat tergempar susulan titah Yang di-Pertuan Agong supaya menyegerakan persidangan Parlimen adalah mengecewakan.

“Amat mengecewakan apabila kabinet tidak memanggil mesyuarat tergempar untuk bertindak atas dua kesimpulan mesyuarat khas Majlis Raja-raja ini, misalnya dengan memanggil sidang parlimen pada hari Isnin, 19 Julai 2021 -- yang masih dibenarkan bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, pemimpin veteran DAP itu berkata, kerajaan sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat dengan menjadikan memerangi pandemik Covid-19 sebagai agenda utama.

“Saya menyeru kepada kabinet untuk tidak memulakan satu krisis berperlembagaan, sebaliknya menggunakan nasihat daripada Majlis Raja-raja ini sebagai satu peluang untuk melancarkan permulaan baharu dalam perang melawan wabak Covid-19,” katanya.

Istana Negara

Pada 16 Jun lalu, Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin supaya membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan berkata Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak menitahkan bilakah tarikh yang tepat untuk Dewan Rakyat bersidang.

Sementara itu, Lim berkata darurat tidak berkesan apabila jumlah kes jangkitan harian kian meningkat selepas lima bulan ia dilaksanakan.

Tiada ulasan: