HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

Notis panggil Parlimen 28 hari bukan 14 hari, Shahidan jawab Zahid

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC) Shahidan Kassim berkata, notis 
memanggil sidang Parlimen perlu dibuat dalam tempoh 28 hari bukannya 14 
hari seperti dibangkitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersetuju sidang Parlimen perlu disegerakan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, kata Shahidan Kassim.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC) itu bagaimanapun berkata, sebarang notis memanggil sidang Parlimen perlu dibuat dalam tempoh 28 hari bukannya 14 hari seperti dibangkitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut menepis tuduhan pihak tertentu kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin tidak berguna sedangkan majoriti diwakili Umno.

“Kami bersetuju Parlimen disegerakan tapi ikut notis. Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari (dan) itu sebenarnya tidak tepat.

“Dan kalau kerajaan ini tidak berguna, Umno majoriti dalam kerajaan. Macam mana kerajaan tidak berguna sedangkan ahli Umno ramai di dalamnya?” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau turut menasihatkan mana-mana pihak yang partinya menjadi sebahagian daripada kerajaan supaya memberikan pandangan yang betul.

“Saya nasihatkan semua pihak bila tegur kerajaan, tegur atas dasar bersama dalam kerajaan. Kalau nak tegur secara terbuka, itu tidak tepat. Kalau nak bagi pandangan pun, biarlah pandangan yang betul,” katanya.

Shahidan turut mendakwa sehingga kini majoriti Ahli Parlimen BN masih berpegang teguh dengan keputusan parti dalam Perhimpunan Agung Umno untuk menyokong kerajaan sehingga pilihan raya.

“Parlimen dibubarkan ‘No’ Anwar ‘No’ DAP,” katanya.

Semalam, Zahid dilaporkan berkata, Umno memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan bagi membuka Parlimen.

Katanya, kegagalan kerajaan berbuat demikian akan mendorong parti mengadakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi bagi mencari tindakan sewajarnya.

Tiada ulasan: