HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

Kenakan syarat bahas di Parlimen tidak demokratik, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, semasa sidang Parlimen, 
apa jua perkara boleh dibahaskan tetapi mestilah sesuai dengan peraturan 
mesyuarat.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berpendapat tindakan mengenakan syarat mengenai isu yang boleh dibahaskan di Parlimen jika kerajaan membuka semula persidangan sebagai tidak demokratik.

Selain menyifatkannya sebagai bercanggah dengan kebebasan berparlimen, Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, menegaskan Parlimen wajar menjalankan peranannya sesuai dengan doktrin pemisahan kuasa.

“Semasa persidangan Parlimen, apa jua perkara boleh dibahaskan tetapi mestilah sesuai dengan peraturan mesyuarat,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Selain itu, memulihkan semula dengan kadar segera demokrasi di negara ini bagi mengembalikan sepenuhnya fungsi Parlimen. Pendirian ini akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi parti untuk ketetapan selanjutnya.

“Pendirian Umno selama ini sangat jelas bahawa institusi raja mesti dipertahankan dan demokrasi mesti dikembalikan dengan memanggil persidangan Parlimen,” katanya.

Beliau juga menegaskan kedudukan Umno dalam kerajaan dan kerjasama dengan parti atau individu tertentu harus dibuat bersandarkan mandat daripada perhimpunan agung parti Mac lalu dan dibincangkan secara kolektif oleh Majlis Kerja Tertinggi.

“Semua ketetapan diputuskan oleh perhimpunan agung Umno adalah terpakai dan Majlis Tertinggi wajar menterjemahkan mandat ini dengan sebaiknya,” katanya.

Tiada ulasan: