HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

Pemuda Umno Sabah desak kerajaan negeri adakan sidang DUN segera

Pemuda Umno Sabah berkata, desakan segera mengadakan sidang Parlimen 
serta DUN wajar agar prinsip semak dan imbang di peringkat kerajaan 
persekutuan mahupun negeri dapat dilakukan.

KOTA KINABALU: Pemuda Umno Sabah mendesak kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri dengan segera bagi membolehkan tuntutan rakyat dibahas oleh wakil mereka.

Ketuanya, Abdul Aziz Julkarnain turut mendesak kepemimpinan tertinggi Umno membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Desakan ini wajar agar prinsip semak dan imbang di peringkat kerajaan persekutuan mahupun negeri dapat dilakukan bagi memastikan tuntutan rakyat dapat dipenuhi pada waktu sukar dan mencabar ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Pemuda Umno Sabah bersolidariti dengan pucuk pimpinan parti yang mahukan Putrajaya segera memanggil Parlimen bersidang dalam tempoh 14 hari bagi mentaati dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu.

“Kegagalan melaksanakan titah berkenaan boleh dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Agong sebagai ketua negara.”

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan PN untuk memanggil sidang Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya Dewan Rakyat bersidang semula secepat mungkin.

Ahmad Zahid juga dilaporkan berkata, kegagalan kerajaan mematuhi titah itu dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi raja-raja.

Katanya, Umno akan mengadakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi bagi membincangkan tindakan lanjut jika kerajaan gagal berbuat demikian.

Aziz berkata, walaupun permintaan kerajaan untuk melaksanakan proklamasi darurat diperkenankan Agong dan berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos, namun kes positif Covid-19 terus meningkat dan bertambah buruk.

Oleh itu Pemuda Umno Sabah kesal dengan kerajaan yang didakwa gagal menangani Covid-19 terutama program imunisasi yang sangat perlahan di negeri itu, iaitu hanya 11.72% dan cara pengurusan ekonomi yang mengecewakan.

“Tentunya kegagalan ini akan menjejaskan prospek pemulihan ekonomi negara, khususnya di Sabah.

“Apa yang lebih menghairankan ialah apabila Pelan Pemulihan Negara hanya diperkenalkan apabila tempoh darurat hampir berakhir tidak lama lagi dan ia mengundang banyak persoalan, termasuk apakah ia sekadar satu tindakan ‘pre-emptive’ untuk menjustifikasi sebarang permintaan bagi lanjutan proklamasi darurat?”

Tiada ulasan: