HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Jun 2021

14 hari buka Parlimen hanya ‘cadangan’ biro politik, bukan keputusan MKT Umno, kata Ismail

Ismail Sabri Yaakob berkata, pandangan disuarakan presiden parti Ahmad Zahid 
Hamidi akan dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi.

PETALING JAYA: Tempoh 14 hari yang diberikan Umno kepada kerajaan untuk membuka semula Parlimen adalah “pandangan” biro politik Umno, bukan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kata naib presiden parti itu, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sebarang keputusan muktamad mengenai sesuatu dasar perlu dibuat oleh MKT tetapi setakat ini badan tertinggi parti itu belum bermesyuarat membincangkan isu tersebut.

“Jadi Umno berpandangan perlu cepat 14 hari, itu biro politik Umno, bukan MKT, dari biro politik (ia) hanya mencadangkan, tapi MKT akan memutuskan,” kata Ismail.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Umno memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan bagi membuka Parlimen.

Katanya, kegagalan kerajaan berbuat demikian akan mendorong parti itu mengadakan mesyuarat khas MT bagi mengambil tindakan sewajarnya.

Hari ini Ismail berkata, Umno juga belum memutuskan mengenai tindakan yang bakal diambil sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak membuka sidang Parlimen dalam tempoh yang dicadangkan itu kerana ia juga belum dibincang oleh MKT.

“Kalau tidak ada sidang (dalam tempoh 14 hari) apa akan jadi, apa tindakan? (Ini) tidak dibincangkan,” katanya.

Katanya, Umno juga tidak membincangkan sama ada parti itu akan keluar daripada kerajaan PN selepas tamat tempoh diberikan.

Ismail yang juga menteri kanan pertahanan berkata, titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen perlu dibuka “secepat mungkin” mengundang pelbagai tafsiran dari berbagai pihak.

Beliau berkata, tafsiran biro politik Umno terhadap ungkapan “secepat mungkin” oleh Istana Negara itu adalah 14 hari.

Bagaimanapun beliau menegaskan tidak ada sebarang percanggahan dalam sokongan Umno terhadap titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung keperluan Parlimen bersidang secepat mungkin.

“Umno menjunjung titah Agong, iaitu perlu diadakan secepat mungkin (sidang) Parlimen, tidak ada percanggahan dalam Umno dari segi pembukaan Parlimen,” katanya.

Tiada ulasan: