HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

PH melampau terhadap Islam, haram bekerjasama dengan musuh: Hadi

 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini melabelkan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan yang melampau terhadap Islam dan beliau mengingatkan adalah haram bagi umat Islam untuk bersama dengan musuh agama.

“Hanya beberapa hari kerajaan PH berkuasa, sudah terserlah sikap mereka yang melampau terhadap Islam dan kepimpinannya, sedangkan ia suatu perkara yang wajib dipertahankan dengan perintah Allah SWT,” kata Hadi dalam ‘Minda Presiden PAS’ di Facebook beliau hari ini.

Beliau mengingatkan mengenai bahaya kepada umat Islam dan negara apabila terdapat dalam kalangan mereka yang sedia bersekongkol dengan sesiapa sahaja, termasuklah musuh agama, umat dan negara sehingga sanggup bersama dengan golongan yang nyata bersikap ekstrem terhadap Islam, umat dan raja.

“Cukuplah perkara besar ini menjadi pengajaran. Jangan ditipu untuk kali kedua laksana disengat daripada lubang yang sama, dan haram bersama dengan musuh agama dan umat, sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi,” katanya yang turut memetik beberapa hadis Rasulullah SAW yang memberi peringatan berkaitan perkara itu.

Katanya, semua hadis Rasulullah SAW adalah suatu kebijaksanaan yang berterusan sepanjang zaman yang mengingatkan golongan beriman supaya bersikap bijak, jangan mudah lupa sehingga boleh ditipu berulang kali.

Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri juga berkata perebutan jawatan Perdana Menteri dalam kerajaan PH sebelum ini menunjukkan individu berkenaan mempunyai sifat yang diharamkan.

“Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu telah memberikan kemenangan kepada PH, kerana ramai tertarik dengan janji yang diucapkan dan ditulis, termasuklah janji yang mustahil dilaksanakan dalam masa yang singkat.

“Bahkan ada juga janji yang dikatakan boleh ditunaikan dalam tempoh yang pendek dalam sehari semalam. Adapun yang tersurat dalam manifesto, masih boleh dibaca semula.

“Apabila tindakan mereka ketika menjadi kerajaan dipersoalkan, semuanya dituding kepada kerajaan yang terdahulu. Apa yang dibisingkan oleh mereka ialah perebutan jawatan Perdana Menteri yang menunjukkan perangai bernafsu yang rakus, sifat yang diharamkan oleh Rasulullah SAW,” katanya memetik hadis riwayat Muslim.

Sehubungan itu beliau mengingatkan generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan media tanpa sempadan yang akan membawa penyesalan di dunia dan akhirat yang sudah tidak berguna lagi penyesalannya.

Katanya, PAS menerima kewujudan masyarakat majmuk yang menyedari kedudukan mereka sebenar, bahkan boleh bekerjasama dengan baik berkonsepkan adil terhadap semua dan diberikan hak beragama tanpa sebarang paksaan.

Hadi berkata, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah konsep yang boleh menghadapi perubahan secara positif, bahkan sudah berlaku beberapa peruabahan pada hari ini.

Tiada ulasan: