HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Utamakan aspek keselamatan sebelum Parlimen dibuka, kata Nazri


Parlimen Malaysia.

Kerajaan perlu mencari ikhtiar dan menitikberatkan aspek keselamatan terjamin terlebih dahulu sebelum membuka sidang Parlimen, ekoran negara masih berhadapan dengan kemelut pandemik Covid-19.

Bekas menteri hal-ehwal undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan sidang Dewan Rakyat itu segera dibuka.

“Ia macam inilah Tuanku titah untuk dibuka serta merta, saya ingat kita ikhtiar seberapa yang bolehlah untuk buka Parlimen. Sebab ini titah Tuanku dan ia juga merupakan yang rakyat mahukan,” katanya kepada Agenda Daily.

Dalam pada itu ketika mengulas dari aspek keselamatan bagi melancarkan pembukaan Parlimen itu tatkala negara masih berhadapan dengan pandemik, Ahli Parlimen Padang Rengas itu mencadangkan beberapa perkara.

“Covid-19 ini kita bercakap tentang tiga perkara, penjarakan fizikal, basuh tangan dan jangan membuat sentuhan fizikal, dan kita kena utamakan keselamatan, patuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan supaya pegawai Ahli Parlimen tidak perlu datang bagi mengurangkan jumlah orang di dewan sekiranya ia dibuka nanti.

“Mereka tidak perlu datang, bagi penjawat awam yang perlu sahaja.

“Malah kalau agak sukar kerajaan boleh adakan sidang Parlimen secara hibrid, dan mungkin juga boleh separuh hadir (bahagi kehadiran Ahli Parlimen),” katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini memberi komitmen untuk membuka sidang Parlimen secepat mungkin dan akan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah untuk memastikan demokrasi terus subur.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata langkah persediaan untuk membuka sidang Parlimen sedang dijalankan, malahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memberi komitmen yang sama sebelum ini dan menunggu masa yang sesuai bagi memastikan isu Covid-19 dapat ditangani dengan baik.

Terdahulu, Agong menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah baginda, Parlimen berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

Tiada ulasan: