HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Jun 2021

Tanpa pembangkang, kerajaan langgar konvensyen Parlimen hibrid

MGF27082020_PC-GUAN-ENG10
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh memaksa pembentukan Parlimen hibrid menjadi sebuah Parlimen rubber stamp dengan tidak melibatkan kedua-dua Ahli Parlimen Pembangkang dan Jawatankuasa Tetap Parlimen daripada Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid yang baru ditubuhkan.

Sepatutnya, Jawatankuasa Perintah Tetap Parlimen harus dilibatkan dan bermesyuarat kerana pembentukan Parlimen hibrid memerlukan pindaan terhadap Perintah Tetap sedia ada, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Jawatankuasa Perintah Tetap Parlimen terdiri daripada wakil-wakil pembangkang bagi menegakkan prinsip asas bahawa Parlimen adalah milik semua Ahli Parlimen, sama ada dari kerajaan atau pembangkang.

Menurutnya, tanpa penglibatan Ahli Parlimen Pembangkang, kewujudan Parlimen hibrid melanggar konvensyen Parlimen dan penyalahgunaan kuasa yang mengikis asas Parlimen sebagai sumber punca demokrasi.

Ini kerana, Ahli Parlimen Pembangkang juga adalah sebahagian daripada cabang perundangan Perlembagaan Persekutuan seperti Ahli Parlimen Kerajaan.

Guan Eng berkata, sekiranya hanya Ahli Parlimen Kerajaan yang dapat memutuskan peraturan prosedur bagaimana mesyuarat Parlimen hibrid dijalankan, timbul persoalan bagaimana Parlimen dapat berfungsi sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan melalui pemeriksaan perundangan dan pengawasan.

Kenyataan itu dibuat susulan pendedahan Tan Sri Rais Yatim bahawa anggota jawatankuasa tersebut terdiri daripada Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ketua pentadbir Parlimen.

Ketua Pembangkang atau wakilnya juga tidak dilibatkan untuk menentukan sifat, bentuk dan format Parlimen hibrid yang baharu ini.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, sesi Persidangan Parlimen Hibrid yang sedang dikaji konsep dan mekanisme pelaksanaannya oleh Jawatankuasa Khas akan membuka suatu perspektif baru bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beberapa aspek penting sedang dalam penelitian Jawatankuasa Khas khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan baru untuk diterima pakai. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: