HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Jun 2021

Titah Agong sejajar rancangan kerajaan buka semula Parlimen, kata Azmin

Menteri Kanan, Azmin Ali berkata, perdana menteri bertindak berdasarkan
 undang-undang dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

BUTTERWORTH: Menteri Kanan, Azmin Ali berkata, titah Yang di-Pertuan Agong untuk Parlimen bersidang semula secepat mungkin sejajar rancangan kerajaan berbuat demikian pada masa sesuai.

Katanya, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin turut menegaskan Parlimen akan bersidang berdasarkan undang-undang dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Titah Yang di-Pertuan Agong selari dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen dalam masa yang sesuai supaya proses demokrasi ini akan terus disuburkan,” katanya pada sidang media di Jawi, dekat sini.

“Perdana menteri selaku ketua majlis telah menyatakan beberapa hari yang lalu bahawa Parlimen akan bersidang, kita tidak pernah menyatakan Parlimen tidak bersidang.

“Selaku ketua majlis, beliau bertindak mengikut peruntukan undang-undang, Perlembagaan dan juga ‘standing order’ dalam Parlimen, dan mengikut masa yang bersesuaian untuk (mengadakan persidangan).”

Semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara kerana menyedari peranan penting Parlimen bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Ia disusuli kenyataan bersama Raja-raja melayu yang berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri bersidang semula secepat mungkin.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, Raja-raja mengambil maklum keadaan ekonomi dan kewangan negara membimbangkan, suasana politik tidak stabil dan perpaduan rakyat semakin retak.

Tiada ulasan: