HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 September 2021

Ahmad Maslan calon terakhir Timbalan Speaker selepas 3 MP tolak


Pemilihan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Speaker diputuskan selepas tiga orang Ahli Parlimen menolak untuk dilantik bagi jawatan tersebut, kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berkata nama MP Pontian itu yang terakhir dipilih oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) memandangkan jawatan itu sememangnya sudah diperuntukan atas faktor penyandang terdahulu.

“Cameron Highlands (Ramli Mohd Noor) tak mahu, Datuk Mastura Mohd Yazid (MP Kuala Kangsar) pun tidak mahu, Datuk Hasan Arifin (MP Rompin) pun tidak mahu. Tidak ada siapa yang mahu,” katanya dipetik sebuah laporan portal.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO tercalon sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan.

Jelas Tajuddin, langkah untuk melantik tiga Timbalan Speaker diambil bertujuan bagi pihak pembangkang berkompromi dengan dengan calon yang dipilih kerajaan semasa pengundian di dewan nanti.

“Jadi, macam mana untuk pastikan (calon blok kerajaan) menang kalau mahu dipilih sekali lagi? Kita bersetuju wujudkan timbalan ketiga, dengan syarat mereka (blok pembangkang) sokong calon kita nanti.

“Sama ada sokong Ahmad Maslan atau orang lain nanti, terpulanglah,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mencalonkan Ahmad sebagai calon Timbalan Speaker, sementara pembangkang menamakan MP DAP, Nga Kor Ming sebagai calon mereka.

Dewan Rakyat menangguh pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada sidang kali ini ke Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan hadapan.

Mengikut ketetapan awal, usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

Untuk rekod, Ahmad kini sedang dibicarakan kerana mengubah wang haram dan memberikan kenyataan palsu kepada SPRM mengenai lebih RM2 juta yang diterimanya daripada Perdana Penteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2013.

Tiada ulasan: