HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 September 2021

Naib Presiden UMNO juga harap kem Dr M pertimbang semula keputusan

Seorang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengharapkan parti-parti blok pembangkang yang berada dalam kem Tun Dr Mahathir Mohamad menimbang semula keputusan menolak Memorandum Persefahaman (MoU) demi kepentingan rakyat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata MoU tersebut tidak akan menghalang proses semak dan imbang dilaksanakan, malah kedudukan pembangkang juga masih kekal cuma ia akan dapat membantu kerajaan dalam menjalankan amanah kepada rakyat yang terjejas akibat krisis kesihatan yang melanda negara.

“Proses semak dan imbang terus dilaksanakan walaupun kerajaan dan pembangkang bersepakat untuk mengambil pendekatan bekerjasama.

“Mereka tetap jadi pembangkang dan boleh membangkang dalam Parlimen tetapi ada persefahaman dan had berhubung hal di luar Parlimen,” katanya dipetik lapor sebuah portal.

Mahdzir terlebih dahulu mendengar taklimat program tanam semula di Dewan Mesyuarat Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau hari ini.

Mahdzir berkata, menerusi MoU yang dimerterai tiga parti pembangkang tersebut turut diharap mencari jalan supaya dapat bersama kerajaan menangani pandemik Covid-19 dan membangunkan ekonomi.

Terdahulu, Dr Mahathir menyifatkan perjanjian antara blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan itu terdapat unsur ‘rasuah’ dan ia akan membataskan parti pembangkang dalam membuat kritikan terhadap kerajaan.

“Kita dapati bahawa kalau kita ambil bahagian kerana kita dapat pulangan tertentu, itu bagi kita tak sesuai kerana dia nampak seolah-olah ada unsur rasuah di situ.

“Iaitu kami akan sokong kalau kamu bagi sekian-sekian kepada kami,” katanya.

Terdapat tiga parti yang berada dalam kem Dr Mahathir, ia terdiri daripada parti Warisan, Pejuang dan Muda.

PH dan kerajaan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Parlimen pada 13 September lalu.

MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Untuk rekod, tawaran kerjasama tersebut sebelum ini pernah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum meletak jawatan tetapi ditolak mentah-mentah pembangkang.

Hanya dengan kerajaan baharu diterajui UMNO sahaja Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tunduk dan menerima tawaran MoU tersebut, begitu takut beliau kepada UMNO sehingga mengadaikan prinsip perjuangannya sebelum ini.

Tiada ulasan: