HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 September 2021

TH perlu teruskan subsidi haji, kekal bayaran RM9,900 – Faiz

faiz
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pengumuman kerajaan mengenai kos mengerjakan haji dijangka meningkat tahun ini membimbangkan umat Islam terutama mereka yang telah diluluskan untuk menunaikan ibadat itu pada tahun depan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil, kenaikan sebanyak RM30,000 sebagaimana diumumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dilihat tidak munasabah.

“Umat Islam di negara ini sebelum ini hanya perlu membayar RM9,900 dan kos selebihnya ditanggung oleh kerajaan.

“Sepatutnya kerajaan harus meneruskan pemberian subsidi itu dengan mengekalkan jumlah bayaran yang sama (RM9,900) bagi membantu meringankan beban bakal jemaah haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Marzuk dalam kenyataan sebelum ini berkata, kerajaan akan memaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah mengenai kenaikan kos bagi menunaikan ibadat haji.

Jelas beliau, sekian lama kos haji tidak naik kerana kemampuan kerajaan dan kedudukan kewangan kukuh membolehkan kos itu ditanggung.

Sebelum ini juga, katanya, kerajaan menanggung subsidi haji berjumlah hampir RM400 hingga RM500 juta setahun.

Namun, beliau dilaporkan berkata, kerajaan akan berusaha memastikan peningkatan kos haji tidak membebankan jemaah walaupun dijangka meningkat lebih RM30,000, berbanding RM24,000 sebelum ini dengan jemaah hanya perlu membayar RM9,900.

Mengulas lanjut, Faiz yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, kesusahan ditanggung umat Islam sejak pandemik Covid-19 tidak harus dibebankan lagi dengan kos haji yang meningkat terutama bagi mereka yang diluluskan mengerjakan haji.

Ujar beliau, keuntungan bersih Tabung Haji (TH) bagi enam bulan pertama sehingga 30 Jun lalu sebanyak RM1.22 bilion harus digunakan sebahagiannya untuk menampung subsidi itu.

“Keuntungan yang dikecapi sejak tahun 2019 ini susulan dasar pemulihan dan penstrukturan oleh PH harus digunakan untuk manfaat umat Islam.

“Tujuan fundamental TH adalah menguruskan ibadat haji umat Islam negara ini. Oleh itu, tanggungan subsidi bagi mengekalkan jumlah bayaran yang sama iaitu RM9,900 adalah dituntut memandangkan jumlah subsidi hanya sekitar RM500 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: