HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 September 2021

Faizal akan pulangkan wang gaji ke Tabung Covid-19

 AGENDA DAILY

Wang gaji berjumlah RM27,000 yang diterima semasa dilantik Penasihat Khas Perdana Menteri (PM) sebelum ini akan dipulangkan ke Tabung Covid-19, kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menteri Belia dan Sukan itu berkhidmat selama 11 hari sebelum berlaku pertukaran PM baharu dan dilantik dalam barisan Kabinet selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah.

“Saya mahu memulangkan keseluruhan RM27,000 itu kepada tabung Covid-19.

“Minta maaf, kepada semua yang mengata saya itu, saya ampunkan. Andai saya tersilap cakap, saya mohon ampun,” katanya lapor sebuah portal.

Bekas Menteri Besar Perak itu dilantik pada 5 Ogos lalu sebagai Penasihat Khas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada sidang Dewan Rakyat minggu lalu, isu gaji Ahmad Faizal dibangkitkan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang meminta Ismail Sabri menyatakan jumlah gaji diterimanya sebagai penasihat Muhyiddin.

Ismail Sabri berkata Ahmad Faizal menerima gaji berjumlah RM27,227.20 dan dibayar secara pro-rata, memandangkan tempoh perkhidmatan yang singkat.

Tiada ulasan: