HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 September 2021

Najib tidak menolak kemungkinan bertanding PRU

Agensi
MGF10102020_TEMUBUAL-EKSKLUSIF-DATUK-SRI-NAJIB_15-1
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Biarpun sedang berdepan dengan pertuduhan kes rasuah di mahkamah yang dilihat sebagai menghalang karier politiknya, Datuk Seri Najin Razak tidak menolak kemungkinan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bekas perdana menteri itu menghadapi perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi dan SRC International di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada bulan Julai tahun lalu mendapati Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta SRC International.

Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan keputusan itu, Najib telah hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya seterusnya.

Najib yang merupakan perdana menteri selama sembilan tahun sehingga 2018, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pencalonan Najib pada masa depan akan berdepan ketetapan Perlembagaan bahawa mana-mana individu yang dijatuhkan hukuman penjara lebih dari satu tahun atau didenda lebih dari RM2,000 akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya parlimen.

Najib yang tidak mengaku bersalah atas semua pertuduhan sedang membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Pada masa ini beliau masih seorang ahli Parlimen tetapi Perlembagaan menghalangnya daripada bertanding lagi melainkan mendapat pengampunan diraja.

Bercakap kepada Reuters, Najib berkata, kehilangan kelayakan itu adalah ‘bergantung kepada interpretasi’.

”Ia bergantung kepada tafsiran undang-undang, Perlembagaan Persekutuan atau apa sahaja yang berlaku dalam perbicaraan,” katanya.

Namun apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya yang tempohnya berakhir dua tahun lagi, Najib berkata: “Mana-mana ahli politik mahu terus memainkan peranan pastinya mahu kerusi di dalam Parlimen”.

Bagaimanapun, menurut Reuters, Najib enggan mengulas lanjut bagaimana beliau keluar daripada halangan Perlembagaan itu.

Najib dalam wawancara itu mengatakan beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tentang peranannya dalam kerajaan.

Sebelum ini, media melaporkan Najib boleh diletakkan sebagai penasihat ekonomi.

Namun bekas perdana menteri itu tidak memaklumkan beliau akan menerima sebarang jawatan, sebaliknya keutamaan Najib adalah membersihkan namanya.

Beliau turut berpendapat, penguasaan kembali UMNO bagi menjamin “kestabilan politik sementara” dan beliau tidak akan mendesak pilihan raya seperti yang dilakukannya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan Muhyiddin runtuh selepas Najib dan beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka.

Malaysia menyaksikan ketidakstabilan politik sejak pilihan raya 2018, dengan dua pakatan runtuh kerana pertikaian.

Najib mendakwa tuduhan-tuduhan terhadapnya bermotifkan politik dan meminta diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang pertama kali mendakwa kes-kes terhadapnya pada 2018.

“Saya telah menegaskannya. Penubuhan RCI diwujudkan untuk perbicaraan yang adil dan saksana untuk semua orang, bukan hanya untuk saya,” katanya.

Thomas belum memberi maklum balas terhadap emel yang dihantar.

Najib mendakwa telah berbincang cadangan itu Ismail Sabri, yang setakat ini tidak bersetuju dengannya.

Beliau juga pernah membincangkan perkara ini dengan Muhyiddin, yang juga menolaknya.

Jurucakap Ismail Sabri dan Muhyiddin juga belum memberi maklum balas terhadap kenyataan tersebut. – Reuters

Tiada ulasan: