HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2021

Ronnie Liu patut fahami hal berkaitan arak dan Islam

MUHAMMAD ZAIM AL-PERAQI
 

POSTING berkaitan arak yang dibangkitkan oleh YB Ronnie Liu (ADUN Selangor) melalui akaun Facebook Ronnie Liu Tian Khiew telah menunjukkan salah faham yang fatal terhadap hal ehwal umat Islam. Kami, Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Johor Bahru senada dengan kenyataan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bahawa hal ehwal Islam yang melibatkan hukum-hakam biarlah umat Islam yang menguruskannya.

Semakan kami di media sosial mendapati posting ini masih tidak diturunkan dan tidak ada lagi kenyataan maaf daripada YB Ronnie Liu berkaitan isu ini. Beliau seharusnya bertanggungjawab selepas menyebarkan kenyataan yang telah dibaca oleh masyarakat umum dan boleh menimbulkan kemarahan umat Islam.

Sebagai makluman, larangan arak kepada umat Islam telah dinyatakan dengan jelas melalui ayat al-Quran dari Surah Al-Maidah ayat 90 yang membawa maksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Bahkan hal ini disebutkan dalam Hadis Rasulullah S.A.W bahawa yang bermaksud “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.

Ketegasan Islam dalam melarang umatnya mendekati arak bukan hanya pada aktiviti meminum arak, bahkan semua hal yang berkaitan arak. Ini seperti yang disebutkan di dalam Hadis Rasulullah S.A.W Riwayat At-Tirmizi, “Rasulullah S.A.W melaknat 10 orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah, yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.”

Larangan yang diberikan ini merupakan perintah Allah dan wajib dipatuhi oleh umat Islam seluruhnya. Justeru, kenyataan YB Ronnie Liu ini dilihat biadab kerana mencampuri urusan umat Islam.

DPPK Johor Bahru menyeru kepada penganut bukan-Islam agar tidak cuba mengambil urusan agama Islam mengikut kaca mata dan pendapat peribadi kerana hal ehwal umat Islam wajib dikendalikan oleh penganut agama Islam sendiri berdasarkan al-Quran dan Hadis serta diuruskan oleh mereka yang ahli mengenainya.

Kami menggesa dan mendesak agar ADUN terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka agar tindakan beliau itu tidak menjadi ikutan kepada penganut bukan-Islam yang lain. Kami juga bersedia membuat laporan polis sekiranya ADUN berkenaan tidak membuat permohonan maaf secara terbuka agar menjadi pengajaran buat sesiapa yang cuba mengambil urusan hal ehwal agama Islam selepas ini. 

(*) MUHAMMAD ZAIM AL-PERAQI
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Johor Bahru – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: