HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2021

Rakyat nak hidup normal, PKR sibuk mahu Anwar tanding di Tambun


Rakyat boleh menarik nafas lega dan mula menjalani hidup normal selepas penularan Covid-19 semakin reda, tetapi lainnya pula dengan parti pembangkang yang tidak habis-habis mendesak supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sana sini.

Terbaharu, Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendesak Presiden PKR itu supaya bertanding di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan meninggalkan Port Dickson kerana merasakan ia pilihan terbaik.

“Saya dan pimpinan cabang mempelawa Presiden PKR untuk bertanding di Parlimen Tambun dan ini adalah ketetapan yang diputuskan setakat ini.

“Kami mahukan Datuk Seri Anwar kerana sebelum ini apabila bertanding di Pulau Pinang, beliau menang begitu juga di Negeri Sembilan. Jadi kami mohon kali ini di Perak pula, kami rasa pilihan terbaik adalah Perak,” katanya dipetik laporan media.

Menurut Muhamad Arafat, rakyat Perak khususnya pengundi di Tambun juga memberi maklum balas positif mengenai pemilihan Anwar untuk bertanding di Parlimen itu.

“Inilah kemahuan rakyat dan mereka harapkan perkara itu berlaku. Jika menjadi kenyataan, ia akan membawa sinar kepada rakyat di Parlimen Tambun.

“Saya sendiri telah maklumkan perkara itu kepada Presiden parti, buat masa ini kita tunggu dan lihat apa keputusan Presiden dan pimpinan parti,” katanya.

Sebelum ini, PKR Perak juga menawarkan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi negeri tersebut pada pilihan raya umum depan dengan harapan dapat menjadi Perdana Menteri (PM) Ke-10.

Ketua Pembangkang tersebut yang juga Ahli Parlimen (MP) Port Dickson gagal dalam cubaan menjadi PM Kesembilan diharapkan dengan menukar kerusi bertanding di Perak akan dapat mencapai cita-citanya itu selepas gagal berkali-kali.

Tawaran untuk bertanding di Perak itu dibuat oleh Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang berharap idolanya itu dapat menerima tawaran tersebut bagi mencapai cita-citanya.

“Presiden sangat responsif dan positif dengan pelawaan itu. Insya-Allah kita tengok nanti,” katanya sebelum ini.

Anwar baru-baru ini gagal dalam cubaannya sekali lagi untuk menjadi PM selepas ditipu anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pada mulanya menyokongnya sebagai calon.

Sebaliknya, Presiden UMNO itu menukar sokongan apabila memberi sokongan kepada Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi PM Kesembilan.

Anwar kempunan lagi apabila rancangan dan komplotnya dengan Zahid gagal susulan keputusan UMNO yang mengekalkan pendirian ‘No Anwar’ dan ‘No DAP’.

Selain itu, Anwar juga dikatakan punca utama UMNO kembali berkuasa di Putrajaya walaupun mereka menolak kumpulan kleptokrat sebelum ini tetapi kini sanggup menjalinkan kerjasama dengan mereka.

Malah, Anwar mengetuai blok pembangkang dalam memerterai memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan Ismail Sabri.

Tiada ulasan: