HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2021

Pemimpin DAP pentingkan politik berbanding nyawa rakyat – Gerakan

166B8689-D21F-46BA-B7B4-31016ACC6491-e1625043802918
Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang membidas tindakan Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy yang dilihat lebih mementingkan soal politik berbanding nyawa rakyat susulan mempertikaikan larangan akitiviti perhimpunan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, tindakan yang diambil Kementerian Kesihatan (KKM) dengan melarangkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya selama satu bulan itu adalah langkah tepat demi kesejahteraan rakyat.

Jelas beliau, tindakan pemimpin DAP itu sekali gus menunjukkan mereka tidak mengambil iktibar daripada PRN Sabah.

“Saya tak faham mengapa Ramasamy mengkritik Menteri Kesihatan berhubung SOP yang dikeluarkan KKM?

“Lebih mengejutkan mereka (pemimpin DAP) yang selalu menggelarkan diri sebagai pemimpin berjiwa rakyat dilihat sanggup mengorbankan nyawa rakyat semata-mata untuk menjayakan kempen PRN Melaka?

“Tolong ambil iktibar PRN Sabah, jangan biarkan sejarah berulang di mana kes Covid-19 meningkat secara mendadak semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tong Keong, tindakan larangan himpunan itu bukan saja melarang Pakatan Harapan (PH) mengadakan kempen pilihan raya malah ia ditujukan kepada semua parti.

“Tiada mana-mana parti terkecuali daripada SOP tersebut jadi di mana timbul isu larangan tersebut bermotifkan politik?

“Adakah DAP bimbang mereka akan kalah dalam PRN Melaka kerana tidak berpeluang untuk berbohong demi meraih sokongan pengundi melalui ceramah politik mereka?

“Sehubungan itu, saya berharap pemimpin DAP menerima larangan yang ditetapkan KKM pada PRN Melaka demi keselamatan rakyat sekali gus memutuskan rantaian Covid-19 daripada terus menular dalam negara,” kata Tong Keong.

Tambah beliau, rakyat Melaka bijak dalam membuat pilihan untuk menentukan siapa yang bakal pemerintah mereka walaupun kerajaan membuat larangan berhimpun ketika kempen. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: