HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2021

PRN Melaka: Sayap UMNO kemuka nama calon, tapi Rauf akan pilih

AGENDA DAILY

Walaupun tiga sayap UMNO Melaka telah mengemukakan senarai nama untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini, tetapi ia akan ditapis dan kata putus terletak kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ini kerana Rauf – bakal Ketua Menteri (KM) Melaka jika UMNO menang besar – juga akan turut bertanding di salah satu kerusi selamat dalam PRN itu nanti.

Lagi pula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Rauf mempunyai pengaruh yang besar dalam perbincangan dengan Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagi memilih calon berkelayakan.

Rauf juga belum membuat keputusan terhadap senarai nama yang dikemukakan ketiga-tiga sayap UMNO itu.

Terdahulu, ketiga-tiga sayap parti itu mengesahkan telah mengemukakan 16 nama pemimpin masing-masing untuk diketengahkan sebagai calon PRN Melaka.

Wanita UMNO negeri dilaporkan telah menyerahkan enam nama untuk diketengahkan sebagai calon dengan mengambil kira tiga kriteria utama digariskan parti, iaitu kebolehmenangan (winnable), boleh diterima (acceptable) dan disukai atau disenangi (likeable) pengundi.

Ketuanya, Datuk Latipah Omar berkata pemilihan nama calon dibuat ketua Wanita di enam bahagian pihaknya berharap 30 peratus wanita diberikan peluang menjadi calon PRN Melaka.

Bernama pula melaporkan Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan pula berkata, pihaknya telah menyerahkan tujuh nama kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan sebagai calon PRN Melaka.

“Kami tidak ambil calon paracut (payung terjun), sebaliknya calon yang dipilih adalah berdasarkan penilaian dan petunjuk prestasi utama (KPI) dan mereka diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tempat tinggal mereka.

“Calon berkenaan juga terdiri daripada ikon atau pemimpin masyarakat setempat yang berkelayakan dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

Ketua Puteri UMNO negeri, Nurashiqin Alias pula berkata, sayap itu tidak ketinggalan mengemukakan tiga nama untuk dipilih sebagai calon yang mempunyai kriteria digariskan parti pada PRN Melaka.

“Puteri mempunyai calon berkelayakan dan mampu berkhidmat dengan baik walaupun masih baharu dalam politik. Kami mempunyai ahli bukan sahaja di bandar tetapi di kawasan pedalaman juga.

“Kalau UMNO hendak maju ke hadapan, kita perlukan orang muda untuk terus bersama dengan UMNO dan BN. Jadi, berilah peluang kepada calon muda agar kita dapat melahirkan kepimpinan muda yang lebih baik di masa hadapan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus lagi wanita.

Tiada ulasan: