KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengesahkan akan bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November ini.
Setiausaha Agungnya, Borhan Ahmad Zakaria berkata, mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra semalam telah melantik Timbalan Presidennya, Tan Sri Mohd Khalid Yunus sebagai Pengarah PRN bermula 8 hingga 20 November ini.
Katanya, Mohd Khalid akan dibantu tiga Naib Presiden sebagai Timbalan Pengarah dan Pengerusi Perhubungan Melaka, Prof. Dr. Aluwi Sari bertindak sebagai penyelaras bagi membantu calon bertanding.
“Mesyuarat ADT Putra semalam mengambil maklum pandangan dan keputusan Biro Politik Putra Melaka serta pusat dan membuat keputusan muktamad akan bertanding di empat atau lima kerusi DUN.
“Nama calon sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan Presiden, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali di markas operasi Putra, Pusat Media Putra PRN Melaka pada 6 November ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Menurut Borhan, tidak ada calon bidan terjun atau lompat parti diambil bertanding, melainkan pimpinan asal Putra yang memegang jawatan dalam parti itu di Melaka.
Katanya, parti itu membuat keputusan tidak mahu terlibat dengan mana-mana pihak yang mencetuskan kemelut politik Melaka, sebaliknya bermula dan membuka langkah dengan pemimpin jati diri dari sejak penubuhan Putra.
“Putra negeri dari seluruh negara dilantik sebagai bapa angkat di DUN yang calon kita bertanding,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli berkata, calon dipilih adalah yang bersih dari isu rasuah, selain bermoral serta berintegriti sejajar dengan cogan parti, Putra bersih dan bermoral.
Ujar beliau, kriteria calon Putra juga adalah anak tempatan yang selama ini banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada rakyat serta Melaka khasnya.
“Calon ini adalah terpilih (bukan dari kelompok kayangan), yang telah lama turun padang, menjadi pendengar dan penyelesai masalah rakyat yang terlepas pandang oleh kerajaan terdahulu akibat kerakusan kuasa dan penjarahan.
“Rakyat Melaka selama ini banyak dibantu oleh bakal calon Putra ini, yang sebelum ini bergerak sebagai sukarelawan.
“Dengan rendah hati, saya memohon sokongan dan undi rakyat Melaka yang sedang menjadi pertaruhan ahli politik dari parti besar untuk kita sama-sama menamatkan legasi kerakusan dan penjarahan yang semakin membarah,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan