Menjadi detik tewasnya logik dan pemikiran rasional
BANGI – Perdebatan mengenai penggunaan nama ‘Timah’ oleh jenama wiski tempatan, yang akhirnya menyebabkan penukaran nama dan gambar pada produk itu bakal membuka ruang kepada muslihat politik yang mengarah kepada pemikiran tidak rasional, kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.
Memetik laporan MCA Lantian semalam, beliau mendakwa, kontroversi penggunaan nama itu oleh produk wiski dimulakan oleh Parti Amanah Negara (PAN), yang kemudiaannya disahut oleh parti lain, ahli politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, hujah mengenai kontroversi ini semakin tidak masuk akal di antaranya kenyataan Ahli Parlimen PKR, Rusnah Alua baru-baru ini yang menyamakan penggunaan nama ‘Timah’ dengan meminum wanita Melayu.
Kenyataan sedemikian katanya, sudah mencapai tahap yang tidak dapat difahami.
Dakwanya lagi, kontroversi berkaitan ‘Timah’ dari mula lagi adalah permainan parti dan ahli politik untuk meraih sokongan yang akhirnya bertukar menjadi sandiwara politik yang tiada berkesudahan serta telah mengorbankan kebebasan rakyat Malaysia.
“Andainya Timah akhirnya menukar nama dan gambarnya, ia akan menjadi detik tewasnya logik dan pemikiran rasional kepada sandiwara dan muslihat politik, Malaysia akan menjadi bahan jenaka di seluruh dunia,” kata beliau.
Sebelum ini, syarikat pengeluar arak tempatan berjenama ‘Timah’ memohon tempoh selama seminggu bagi menukar nama dan imej pada label produk keluaran mereka.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan kerajaan dengan wakil syarikat pengeluar arak terbabit – Winepark Corporation (M) Sdn Bhd.
“Melalui perbincangan yang diadakan, syarikat ini memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan