HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2021

Tuntutan Hua Zong melampau, cuba ubah sejarah Malaysia

Oleh Zuhayati Yazid

'Sepatutnya mereka yang patuh dan akur dengan sistem pendidikan kita'

BANGI – Tuntutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina, Hua Zong supaya kerajaan meminda Perlembagaan dalam usaha menjaga sekolah vernakular disifatkan sebagai bukan satu permintaan ringan.

Ia kerana tuntutan tersebut jika dilihat dengan teliti seolah-oleh cubaan untuk mengubah sejarah negara ini.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mendakwa, tindakan sedemikian mampu mengugat perpaduan penduduk berbilang bangsa di Malaysia.

“Orang Melayu sendiri tidak pernah desak mahu ubah atau pinda Perlembagaan…ini tindakan sangat melampau.

“Kenapa mahu pinda dan tunduk dengan permintaan mereka, sedangkan sistem pendidikan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) berlawanan dengan sistem pendidikan negara.

“Sepatutnya mereka yang patuh dan akur dengan sistem pendidikan kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Hua Zong meminta kerajaan mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan Persekutuan serta meminda atau memperkuatkan peruntukan yang relevan jika perlu.

Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, ia bagi mengelakkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaa Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah Perlembagaan terus dicabar.

Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan sehingga ke hari ini masih belum mampu menyelesaikan isu berkaitan sekolah vernakular.

“Ini melibatkan isu negara dan harus ingat kemantapan sesebuah negara sebenarnya bergantung kepada sejarah,” katanya.

Sehubungan itu, Prof Ahmad Murad berharap sekolah satu aliran dapat diwujudkan segera demi menjamin perpaduan kaum yang lebih utuh.

Tiada ulasan: