HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2021

Ramai mahu lihat UMNO, BN kecundang di Melaka – Tok Mat

MGF271021_PELANCARAN-JENTERA-BN_10
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Ramai yang mahu tengok UMNO dan Barisan Nasional (BN) kecundang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Justeru, Mohamad tidak mahu sentimen sedemikian mematahkan semangat sementara jentera parti harus melipat gandakan usaha mereka.

“Banyak orang nak kuburkan kita di Melaka tapi tidak mengapa kita lihat siapa yang nak di talkin kan dan siapa yang nak dikuburkan, kita hadapi apa jua yang berlaku.

“Saya yakin Melaka ini kubu kuat UMNO dan hasrat orang memang nak tengok kita kecundang di Melaka tapi saya juga yakin jika tanggungjawab ini di pikul dengan baik maka kita boleh menang lebih banyak kerusi pada PRN Melaka,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera BN sempena PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya UMNO turut meminta semua pihak yang terlibat dalam PRN Melaka supaya tidak merasa terganggu dan menyelesaikan semua gerak kerja yang telah ditetapkan.

“Saya telah menyusun atur jentera parti, dua tiga hari ini kita berbincang dan bermesyuarat bagi mencari cara yang terbaik untuk menyusun jentera dalam menghadapi PRN Melaka.

“Jangan kita terganggu dengan sebarang halangan walau orang sebenarnya memang nak tengok kita gagal.

“Pikul tanggungjawab, pikul tugas dan amanah sebaiknya dan kita mesti menang dalam PRN Melaka kerana cerminan PRN Melaka ini merupakan cerminan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak, jadi pengukur prestasi bagi parti banyak kepada PRN kali ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad turut menyifatkan ketika ini parti sedang bertembung dengan situasi ajal dan maut.

“Tak betul kita urus, tak betul kita hadapi maka maut yang akan menanti parti maka kita tidak boleh lengah-lengahkan.

“Selain itu, tidak kurang juga orang nak melihat kita gugur, orang nak lihat UMNO dan BN ini ditewaskan maka perlu lah kita berhati-hati dan berstrategi, perlu kita gunakan segala taktikal yang ada untuk kita menghadapi dan mengharungi PRN Melaka.

“Walaupun di Melaka kita tidak boleh berkempen seperti biasa kerana adanya arahan daripada kerajaan untuk menjaga kepentingan kesihatan awam tetapi itu kita jangan jadi batu penghalang.

“Sebelum ini kita dah biasa untuk berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini dan Slim dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, tiada pun kluster Slim atau kluster Chini, tetapi tidak mengapa,” ujarnya.

Jelas Mohamad, beliau juga sudah menyusun atur gerak kerja jentera dari negeri-negeri lain bagi membantu parti meraih kemenangan.

Dalam nada seloroh, Mohamad mahu jentera negeri Melaka menguruskan ‘kenduri’ mereka dengan sebaik-baiknya.

“Kita dah susun atur negeri-negeri supaya dapat membantu rakan di Melaka agar kita dapat meraih kemenangan. Orang di Melaka pula, jentera mereka, kami daripada negeri datang membantu sahaja tetapi kenduri adalah kenduri tuan-tuan jadi urus lah dengan baik.

“Rakan-rakan parti komponen juga mesti bersama supaya apa yang kita lakukan ini menjadi cerminan kepada BN dan masyarakat majmuk negara kita.

“Ini kerana kita bukan hendak menubuhkan kerajaan Melayu, kita bukan nak menubuhkan kerajaan Islam tetapi kita hendak bina kerajaan BN yang berbilang kaum dalam negara ini.

“Jadi pastikan kita bersama-sama, MCA dan MIC urus jentera kita baik-baik supaya kita boleh berjalan seiring, mesej dan naratif juga mesti sama selain kurang kan kita bercakap kerana kadang-kadang salah cakap akan memakan diri. Kita cuba berhubung dengan seberapa banyak mungkin pengundi supaya pengundi jelas apa yang kita nak bawa,” ujarnya. MalaysiaGazette

Tiada ulasan: