HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2021

Kompaun RM10,000 sahaja selepas program jentera BN langgar SOP


Kompaun sebanyak RM10,000 sahaja dikenakan terhadap penganjuran majlis jentera Barisan Nasional (BN) kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang berlangsung secara gilang gemilang malam tadi.

BN mengadakan pelancaran jentera kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC malam tadi dengan dihadiri ribuan penyokong kuatnya dan dirasmikan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama dengan para pemimpin atasan parti komponen gabungan tersebut.

Sepatutnya pelancaran tersebut diadakan di Melaka tetapi ditukar lokasi ke Kuala Lumpur susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini yang melarang sebarang aktiviti perhimpunan berkaitan pilihan raya di negeri tersebut.

Kompaun tersebut dikeluarkan pihak Pejabat Kesihatan Kepong dibawah Akta 342 yang melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi penganjuran majlis sosial, surat kompaun tersebut juga dimuat naik dalam akaun rasmi Facebook KKM malam tadi.

Turut hadir pada majlis tersebut, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan disamping barisan tertinggi parti tersebut.

Calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka juga berada sepentas dengan barisan pemimpin tertinggi gabungan itu.

Untuk rekod, Rauf selaku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bertindak membubarkan kerajaan dan menyebabkan PRN terpaksa diadakan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berada dalam kem berbeza tidak berada dalam pelancaran jentera malam ini, mungkin sibuk dengan urusan lain tidak dapat bersama dalam perhimpunan.

Dianggarkan kira-kira 5,000 lebih penyokong dan ahli parti memenuhi setiap penjuru dewan dengan baju rasmi gabungan itu, majoriti kelihatan bersemangat untuk berkempen semasa PRN nanti.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

Tiada ulasan: